Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Saingan Jelajah Malaysia (JM) 2016 bermula hari ini menjanjikan saingan sengit dalam memburu kejuaraan yang dipertandingkan.

Beberapa pasukan ternama Jelajah Asia sudah mengesahkan penyertaan seperti Pishgaman Cycling Team dari Iran, KSPO (Korea Selatan), Kinan Cycling Team (Jepun) serta pasukan tempatan Terengganu Cycling Team (TSG).

Tiada kelibat juara bertahan Skydive Dubai dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) walaupun pada awalnya disenaraikan antara pasukan yang akan bertanding dalam perlumbaan lima peringkat itu.

Namun saingan dijangka terus menarik dengan kehadiran lapan pasukan berstatus benua dalam perlumbaan lima peringkat JM 2016 dengan kekuatan mental dan fizikal pelumba akan diuji apabila perlu mengharungi pendakian kategori hors.

Mereka akan dihidangkan dengan laluan terpanjang pada peringkat pertama dari Dataran Merdeka ke Ipoh sejauh 206.5 kilometer yang dijangka menjadi milik pelumba pecut membabitkan penamat beramai-ramai.

Ia disusuli peringkat kedua yang paling menarik pada edisi tahun ini bermula dari Sungai Siput ke Brinchang dengan pelumba akan melakukan pendakian kategori hors pada ketinggian 1,620 meter (Brinchang) dari aras laut.

Tumpuan pelumba pendaki akan tertumpu kepada jaguh dari Pishgaman Cycling Team iaitu Arvin Moazemi Goudarzi dan Rahim Emini, pelumba TSG dari Indonesia Dadi Suryadi serta beberapa pelumba lain.

Seterusnya baki tiga peringkat adalah milik pelumba pecut dengan laluan disifatkan landai dan tidak terlalu memberikan cabaran yang besar dalam pendakian.

Tanpa kehadiran juara bertahan kategori pecut Andrea Palini dari Skydive Dubai, tumpuan dijangka terarah kepada Harrif Salleh dari TSG, gandingan dua pelumba KSPO Park Sung Baek dan Seo Joon Yong yang pernah menggegar di Le Tour de Langkawi (LTdL) serta beberapa pelumba lain.

Selain TSG, cabaran pelumba tempatan juga digalas lapan pasukan lain dengan tumpuan terarah kepada barisan pelumba muda.

Aksi di JM 2016 diharapkan menjadi medan kepada pelumba seperti Nur Aiman Zarif, Eiman Firdaus Zamri, Nik Azwan Zulkiflie, Che Ku Mohamad Che Ku Romli, Afiq Huznie Othman serta beberapa pelumba lagi memanfaatkan peluang bersaing dengan pelumba handalan di benua ini.

Saingan tertua di Asia yang dimulakan pada 1964 adalah berstatus 2.2 dalam Jelajah Asia mempertandingkan lima jersi utama iaitu juara individu keseluruhan (jersi merah), Raja Pecut (jersi biru), Raja Bukit (merah polka dot), pelumba bawah 23 tahun terbaik (jersi putih) selain pelumba tempatan terbaik.

JM 2016 membabitkan 16 pasukan, lapan berstatus benua, dua negara dan enam kelab tempatan, dengan jarak sejauh 756.9 kilometer bermula di Kuala Lumpur merentasi Perak, Pahang, Kelantan dan berakhir di Terengganu.

Ia menawarkan hadiah wang tunai mencecah RM178,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 9:08 AM