MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam melepaskan sukarelawan dalam Kempen Melawan Denggi.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Lebih 700 sukarelawan berkumpul di destinasi pelancongan popular di Desaru pada awal pagi. Bukan untuk menikmati keindahan dan ketenangan laut, tetapi mereka mempunyai misi melawan denggi (dikenali sebagai Allied Denggi atau AAD).

Program ini dimulakan apabila GSK Consumer Healthcare (GSK) memberikan penekanan mengenai penyakit bawaan nyamuk seperti denggi yang mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Johor, kontinjen sukarelawan COMBI, iM4U dan Universiti UCSI Kuala Lumpur.

Menurut Pengurus Besar Asia Tenggara GSK Consumer Healthcare Debjit Rudra, penularan denggi di Malaysia perlu diuruskan setiap masa. Ia tanggungjawab bersama masyarakat, institusi, syarikat dan kerajaan bagi mendapat kesan yang lebih baik dan cepat.

“Kempen Bersama Melawan Denggi adalah pendekatan untuk memperkasakan dan mendidik masyarakat mengenai pencegahan dan pengurusan demam denggi. Penyertaan sukarelawan dalam aktiviti ini menunjukkan semua pihak bersatu hati untuk mengurangkan beban denggi negara,” katanya.

Kumpulan sukarelawan terdiri daripada rakan gabungan AAD, pahlawan denggi, sukarelawan COMBI, belia iM4U, sekolah menengah dan pelajar sarjana muda serta masyarakat yang mengambil bahagian dalam program ini.

Setiap kumpulan sukarelawan membawa penghalau nyamuk, semburan, sarung tangan tangan dan beg sampah sambil mendengar taklimat mengenai teknik mengosongkan air bertakung serta menghapuskan larva.

Kawasan yang memerlukan pembersihan komprehensif ditanda dengan bendera merah bagi tindakan pihak berkuasa Jabatan Kesihatan Negeri Johor menjalankan penghapusan larva dan fogging.

Mereka mendapati kebanyakan tempat pembiakan nyamuk ditemui di kawasan estet rumah dan tapak pembinaan sama ada di dalam bekas air bertakung, pelapik pasu bunga, dulang dan long­kang tidak dirawat selama beberapa hari.

Kit pengurusan denggi merangkumi kertas ujian suhu dan buku pengurusan denggi diedarkan kepada masyarakat setempat. Beberapa penduduk juga mendaftar sebagai pejuang denggi dan berjanji menyebarkan pengetahuan kepada orang lain.

Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia dan AAD menganjurkan aktiviti Hari Denggi ASEAN di Desaru namun program sama dijalankan serentak di negeri lain.

Kempen Bersama Melawan Denggi bermula pada April lalu yang menyatukan pemimpin seperti doktor, ahli farmasi, persatuan, pihak berkuasa kesihatan, badan bukan kerajaan, institusi awam dan swasta untuk mengurangkan beban denggi kepada masyarakat.

Rakan kongsi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Guardian Health & Beauty Malaysia dan Universiti UCSI Malaysia. Setiap rakan gabungan memanfaatkan kecekapan teras mereka dan mendedikasikan tenaga, dana dan sumber untuk menuju ke arah kematian sifar akibat denggi menjelang 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 5:01 AM