PELAJAR bersedia memulakan larian.

Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan menganjurkan Larian Cergas Ceria Dutch Lady 2016 bertempat di Sekolah Kebangsaan Datu’ Hashim Pengkalan Chepa.

Acara itu menyaksikan hampir 1,000 murid mengambil bahagian dalam larian sejauh tiga kilometer di sekitar bandar Pengkalan Chepa selain aktiviti riadah dalam usaha menyemai tabiat gaya hidup sihat serta memperbaiki taraf kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan Panchanathan, selain mendidik pelajar mengenai kemahiran dan pengetahuan akademik, pihak pengurusan sekolah juga memikul tanggungjawab memupuk nilai kemahiran hidup dalam kalangan mereka.

Amat wajar sekiranya pendidikan pemakanan dan kepentingan gaya hidup sihat menjadi satu topik yang diterapkan dalam minda setiap pelajar.

Jelas Ahli Lembaga Pengarah Dutch Lady Malaysia, Datuk Dr Mhd Nordin Mohd Nor, acara Larian Cergas Ceria Dutch Lady ini diilhamkan bagi membangkitkan kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai kepentingan pemakanan berkhasiat dan aktiviti fizikal untuk memastikan mereka menjalani gaya hidup sihat.

“Ini kerana pertumbuhan dan perkembangan setiap kanak-kanak itu saling bergantung kepada khasiat pemakanan dan senaman harian. Oleh itu, ibu bapa seharusnya memberi penekanan mengenai pemakanan anak-anak dan memastikan mereka mengambil makanan sihat,” katanya.

Penemuan Kaji Selidik Nutrisi Asia Tenggara (SEANUTS) yang dijalankan syarikat induk Dutch Lady iaitu FireslandCampina menunjukkan hampir separuh daripada kanak-kanak yang dikaji tidak mendapat cukup vitamin D manakala satu daripada 20 orang mengalami masalah kekurangan nutrisi disebabkan pemakanan tidak seimbang serta kurang melakukan aktiviti fizikal. Oleh itu, acara larian sebegini diharap akan dapat membantu menangani masalah ini.

Larian Cergas Ceria Dutch Lady juga adalah lanjutan kepada kempen kesedaran Drink.Move.BeStrong (Minum Susu.Bergerak.Jadi Kuat) yang dilancarkan pada 2014 bagi menggalakkan keluarga di Malaysia supaya menjadi kuat dari segi fizikal dan emosi menerusi pengambilan khasiat daripada susu dan pembabitan dalam aktiviti fizikal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 5:01 AM