Mejar Azhari beraksi dalam saingannya. FOTO THONEH
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penembak buta negara, Mejar Azhari Abdullah meraih pingat gangsa manakala ASP Amir Abdullah menduduki tangga ke-10 kejohanan berprestij Piala Ostrava di Republik Czech baru baru ini. Mereka bertanding dalam saingan berlangsung 15-18 September lalu.

Kedua-dua penembak dari Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia (MBSA) ditaja Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn (THONEH) untuk melakukan penampilan pertama pada kejohanan anjuran negara Eropah Tengah itu.

"Ini adalah kali pertama Malaysia menghantar dua penembak dari MBSA ke kejohanan antarabangsa berprestij itu," kata Presiden MBSA yang juga Pengerusi Persekutuan Sukan Orang Buta Antarabangsa (Asia), Dr S Radhakrishnan dalam kenyataan di sini hari ini.

"Kami berbesar hati dengan penajaan daripada THONEH dan menghargai sumbangan mereka dalam menyokong atlet buta," katanya.

Piala Ostrava adalah kejohanan menembak antarabangsa yang dianjurkan Kelab Sukan Polis Ostrava untuk atlet buta dan cacat penglihatan.

Pengurus Besar THONEH Dr Norasidi Salim Al-Haj berkata hospital itu menaja pakaian atlet, tiket penerbangan dan tempat tinggal, selain peranti baru sasaran untuk pertandingan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 11:15 PM