PETUGAS pejabat SPR menunjukkan lokasi di Pahang yang terbabit dalam Persempadanan Semula kawasan pilihan raya, September lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 836 bantahan sepanjang sebulan tempoh pameran dan bantahan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Sabah dan Tanah Melayu yang berakhir Jumaat lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, berdasarkan Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengadakan siasatan tempatan bagi mendengar bantahan yang diterima daripada kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sekumpulan 100 individu atau lebih nama yang berdaftar sebagai pemilih di mana-mana bahagian pilihan raya berkenaan.

"Sehubungan itu, SPR akan memaklumkan kepada pihak pembantah yang layak mengikut undang-undang melalui surat yang dikeluarkan oleh SPR kepada pihak terbabit mengenai tarikh, masa dan tempat bagi mendengar bantahan itu.

"Kami ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi kerjasama dan turut serta dalam proses pameran dan bantahan syor kajian semula berkenaan,"katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, SPR mempamerkan syor Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Semenanjung dan Sabah bermula 15 September lalu hingga 14 Oktober lalu.

Kajian dilaksanakan mengikut Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 7:28 PM