BERNAMA

Kuala Lumpur: Cadangan menggantung persekolahan selama setahun terhadap pembuli memerlukan perbincangan mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata, pihak berkaitan termasuk wakil kanak-kanak, ibu bapa dan badan bukan kerajaan perlu duduk berbincang mengenai cadangan itu bagi mencari penyelesaian terbaik.

Beliau berkata tindakan menggantung persekolahan pelajar selama setahun tidak semestinya memperbaiki keadaan dan mungkin ada kaedah lain bagi menyelesaikan masalah buli di sekolah secara keseluruhan.

"Tindakan memang perlu diambil kerana kita tidak boleh membenarkan anak-anak kita di Malaysia ini menjadi pembuli, namun perbincangan secara serius perlu dibuat supaya tindakan dan situasi menang-menang dapat dicapai," katanya di Lobi Parlimen di sini, hari ini.

Katanya sebarang tindakan juga perlu berlandaskan undang-undang mengikut Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016.

Semalam, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementeriannya bercadang pelajar yang membuli pelajar digantung persekolahan selama setahun sebagai pengajaran dan sepanjang penggantungan, pelajar melakukan kerja kebajikan atau memasuki pusat pemulihan akhlak sebagai syarat untuk diterima masuk semula ke sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 7:27 PM