WARGA Filipina dihukum penjara terhadap tuduhan menggunakan MyKad palsu dan MyKad milik orang lain. FOTO Muhaizan Yahya
Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my


Seri Manjung: Dua puluh tiga warga Filipina termasuk lapan wanita dihukum penjara dua tahun dan denda RM2,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menggunakan MyKad palsu dan MyKad milik orang lain.

Majistret Nur Shaqira Ibrahim turut memerintahkan mereka dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk pengusiran sebaik selesai menjalani hukuman berkenaan.

Semua mereka berusia antara 23 hingga 47 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar Kampung Acheh dan Taman Samudera di sini ketika ditangkap dalam operasi bersepadu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara 12 tengah malam hingga 6 pagi Jumaat lalu.

Lima belas orang dituduh menggunakan MyKad palsu manakala lapan orang dituduh menggunakan MyKad milik orang lain.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Ketua Unit Pendakwaan JPN, Mohd Fazdhly Abdul Razak dan Pegawai Pendakwa, Mohd Ashgar Mohd Hussain manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 3:25 PM