SATU daripada tiga kereta yang terbabit kemalangan. FOTO Rosman Shamsudin
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Slim River: Dua mangsa maut dalam kemalangan di Kilometer 105 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Jambatan Sungai Slim, Kampung Balun, hari ini dikenal pasti sebagai Muhammad Syafie Abdul Latif, 25, dan Muhammad Hafizi.

Kemalangan yang membabitkan Perodua Axia, Toyota Innova dan Nissan Sylphy, 6.40 pagi tadi, turut mengakibatkan lima orang cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik Negeri, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang maut menaiki Perodua Axia dipercayai dari arah Slim River ke Tanjung Malim.

Katanya, kereta yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke arah jalan bertentangan dan melanggar dua kenderaan dari arah berkenaan.

"Kedua-dua mangsa yang meninggal dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Slim River untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita berkaitan:

Dua maut kemalangan tiga kereta

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 1:20 PM