ADAM bergelut pulih prestasi.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Selepas sekian lama bergelut dengan prestasi, pelumba Moto3 negara Adam Norrodin (gambar) akhirnya kembali mengutip mata selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun di tempat ke-12 sekali gus meraih empat mata, semalam.

Pelumba SIC Racing Team itu bermula di petak kesembilan tetapi gagal mengekalkan momentum hingga menyaksikannya terperosok ke belakang sebelum kembali mengekalkan kedudukan di kelompok pertengahan.

Dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 tetapi oleh kerana pelumba Honda Team Asia, Hiroki Ono yang meraih tempat ketiga dibatalkan kemenangannya, Adam naik satu anak tangga di tempat ke-12.

Kali terakhir pelumba berusia 18 tahun itu mengutip mata adalah pada GP Argentina apabila dia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11.

“Saya bermula dengan baik hingga pada satu ketika berada di kedudukan keenam. Tapi agak perlahan di laluan lurus hingga menyaksikan beberapa pelumba mudah memotong saya.

“Saya cuba untuk mengejar kelompok depan semula tapi saya ada masalah dengan kesakitan di bahagian lutut.

“Apapun saya tetap berpuas hati kerana dapat mengutip mata,” katanya.

Sementara itu, pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah berdepan kekecewaan untuk meraih penamat lebih baik selepas mengalami masalah jentera.

Bermula di petak ke-12, jentera pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu tidak menunjukkan ‘karakter’ seperti pada sesi kelayakan hingga menyaksikan Hafizh bergelut sepanjang perlumbaan semalam dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-13.

“Ia tidak seperti jentera yang saya tunggang semalam (kelmarin). Jentera rasa agak pelik sejak sesi pemanas badan di sebelah pagi.

“Saya tahu memang tiada sebarang perubahan dilakukan sejak semalam (kelmarin).

“Saya cuba sedaya upaya untuk kembali mengejar kelompok depan tapi masalah sama berulang lagi. Apapun, saya akan cuba lakukan yang terbaik pada perlumbaan seterusnya di Australia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 8:55 AM