Kereta yang terbakar. FOTO ihsan bomba
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my

Melaka: Seorang wanita nyaris rentung apabila kereta dipandunya terbakar sejurus terbabit dalam kemalangan membabtikan tiga kenderaan di Kilometer 219 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh, di sini, jam 5.45 pagi tadi.

Jurucakap polis berkata, mangsa berusia 26 tahun yang memandu seorang diri dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Bandaraya Melaka sempat menyelamatkan diri selepas dibantu orang awam keluar dari Perodua Viva dipandunya.

Katanya, bagaimanapun susulan kemalangan itu lima mangsa masing-masing seorang pemandu dan penumpang Perodua Kenari dan van serta pemandu Perodua Viva hanya cedera ringan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Viva dikatakan hilang kawalan sebaik tiba dilokasi kejadian sebelum melanggar belakang van dipandu lelaki 27 tahun.

"Susulan pelanggaran itu, van berkenaan terbabas ke kiri jalan sebelum Perodua Kenari yang kebetulan melalui lokasi kejadian tidak sempat mengelak lalu terlanggar Perodua Viva sebelum ianya terbakartidak lama selepas itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian selain kes akan disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Akta Pengangkutan Jalan 166/59.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 3:27 PM