KES buli yang menjadi viral Ogos lalu.
Suzalina Halid
am@hmetro.com.my


Pedu: Kementerian Pendidikan mencadangkan supaya mana-mana pelajar sekolah yang terbabit dalam kegiatan buli kategori serius digantung persekolahan selama setahun mulai Januari 2017.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau melihat cadangan penggantungan itu adalah idea terbaik bagi membendung kegiatan buli yang disifatkan amat serius sejak kebelakangan ini terutamanya membabitkan antara pelajar senior dan junior.

Menurutnya, pihaknya memberikan tempoh sebulan bagi mendapatkan reaksi daripada pihak berkepentingan termasuk komuniti mengenai cadangan terbabit sebelum ia dijangka dikuatkuasakan Januari depan.

"Kementerian berhasrat untuk melaksanakan langkah ini secepat mungkin dan kita akan menerima pandangan dan reaksi semua pihak dalam masyarakat berhubung cadangan ini.

"Pembuli yang digantung diwajibkan untuk membabitkan diri dengan kerja kebajikan atau masuk pusat pemulihan akhlak dalam tempoh penggantungan sebagai syarat untuk diterima masuk semula ke sekolah," katanya pada sidang media selepas Majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Bantuan Projek AET serta Laman kebun RISDA di Dewan RPK Kampung Lubuk Merbau, di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, cadangan itu terpakai bagi sekolah menengah dan kebangsaan kerana kes buli semakin serius.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 3:19 PM