Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


Klang: Sembilan rumah di Kampung Sri Keramat, Batu 5, Kapar di sini, dinaiki air selepas benteng pecah ketika fenomena air pasang besar, 5 pagi tadi.

Penduduk mendakwa kejadian itu mengakibatkan kediaman mereka dinaiki air sedalam 0.3 meter namun kembali surut lebih sejam kemudian.

Penduduk, Ruzita Bahar, 47, yang tinggal berdekatan benteng itu terkejut apabila mendengar jeritan jirannya memaklumkan kejadian berkenaan.

"Sejurus terjaga daripada tidur, saya mendapati rumah sudah ditenggelami air paras buku lali sebelum mula naik hampir ke lutut.

"Saya kemudian mengangkat barang ke tempat tinggi sebelum air surut kira-kira 6 pagi tadi," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Difahamkan, kejadian berlaku agak pantas dan turut mengakibatkan beberapa kenderaan penduduk dinaiki air.

Dalam pada itu, jurucakap bomba berkata, tiga kawasan dikesan mengalami limpahan iaitu di Jalan Kebun Baru, Batu 5 dan Kampung Batu 4 di Kapar serta Pantai Batu 23, Sabak Bernam.

"Keadaan di seluruh Selangor bagaimanapun masih terkawal dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan berikutan air kembali surut.

"Sehingga 8 pagi tadi, 321 penduduk membabitkan 74 keluarga berada di pusat pemindahan di Kampung Tok Muda Kapar dan Sabak Bernam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 10:23 AM
LOKASI benteng yang pecah di belakang rumah Ruzita. FOTO Muhammad Sulaiman