PERTAHANAN Kedah Bang Seungwhan (kiri) mengasak pemain PDRM.

Melaka: Kedah tetap mara ke final Piala Malaysia menerusi agregat 2-1 selepas diikat seri 0-0 ketika bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada saingan separuh akhir kedua di Stadium Hang Jebat. Paya Rumput malam tadi.

Sedar dengan kelebihan tipis yang dibawa dari Stadium Darulaman, Helang Merah melakukan asakan awal dengan peluang terbaik untuk menjaringkan gol menjelma seawal minit -14 namun tandukan Shane Edwards sedikit tinggi melepasi palang gol The Cops.

Perlawanan yang lebih dikuasai pelawat menyaksikan rembatan kapten pasukan Baddrol Baktiar pada minit ke-25 hampir membuahkan hasil namun berjaya ditepis penjaga gol Hamdan Sairi.

The Cops hanya mampu melakukan satu percubaan bahaya pada minit ke-19 menerusi rembatan kencang Fakhrul Aman Sidid namun tersasar ke kanan gawang Kedah.

Kehadiran lebih 10,000 penyokong pelawat nyata membakar semangat anak buah jurulatih Tan Cheng Hoe untuk melakukan gerakan berbahaya namun tetap gagal memecah kebuntuan.

Kedah seharusnya berada di depan pada minit ke-34 namun tandukan Thiago Agusto terkena palang dan tindakan susulan Edward juga tersasar.

Namun, anak buah jurulatih Fauzi Pilus juga hampir membuka jaringan pada minit ke-38 namun hantaran lintang kapten pasukan Mohd Safuwan Baharudin dirembat tinggi Christopher Keli ketika peluang sudah terbuka.

PDRM menggandakan asakan di penghujung babak kedua namun rembatan Safuwan pada minit ke-74 tersasar ke kanan gawang pelawat.

Ketika permainan berbaki 10 minit, Kedah mula memperlahankan rentak permainan dan hanya menunggu wisel penamat dibunyikan pengadil untuk meraikan kejayaan melangkah ke final buat kali kedua berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:05 AM