FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif
mohd.aizat@mediaprima.com.my


Padang Besar: Lima kereta mewah dipercayai klon bernilai hampir setengah juta ringgit dirampas di Pokok Sena, Kedah.

Kereta mewah itu dirampas anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Negeri Perlis selepas menahan pemilik bengkel membaiki kereta, semalam.

Kelima-lima kereta mewah itu dikesan sedang dibaiki selepas anggota risikan AKSEM menerima maklumat pada kira-kira 3 petang.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superitendan Syed Basri Syed Ali, berkata ketika pemeriksaan, hanya terdapat seorang lelaki yang juga pemilik bengkel sedang beristirehat di kaunter bengkel itu.

"Lima kenderaan yang disyaki klon ditemui dalam bengkel, termasuk dua BMW dan masing-masing satu Nissan Murano, Honda Civic dan Honda Accord.

"Semakan ke atas tiga nombor chasis enjin kenderaan mendapati ia tidak mempunyai pendaftaran dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Chasis enjin Honda Civic dan Honda Accord pula sudah dikikis,” katanya di Pejabat AKSEM Padang Besar, disini, hari ini.

Menurutnya, pemilik bengkel berusia 32 tahun dan berasal dari Pokok Sena itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal kami mendapati kenderaan itu dibawa masuk oleh sindiket ke negara ini dari Singapura dan hendak menjualnya di utara semenanjung,” katanya.

Syed Basri berkata, kenderaan yang dirampas itu juga adalah yang akan dilupuskan di republik itu.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai kastam adalah dianggarkan bernilai RM485,909," katanya.

Rampasan dan suspek kemudian diserahkan kepada kastam untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen135(1) (D) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang belum lulus kastam.

Jika didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman denda 10 kali ganda nilai cukai atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 6:56 PM