Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Polis menumpaskan dua sindiket pecah rumah dan curi kenderaan susulan penahanan 13 individu termasuk tiga wanita di beberapa lokasi di sekitar bandar raya ini, Penampang dan Keningau.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata siasatan mendapati dua kumpulan dikenali Geng Arbie dan Itam terbabit dalam 12 kes pecah rumah dan curi kenderaan di kawasan Kota Kinabalu dengan anggaran kerugian RM217,800.

"Susulan penahanan semua suspek, polis merampasn tiga kereta, jam tangan, telefon bimbit, beberapa peralatan elektronik dan turut dirampas pelbagai peralatan dipercayai untuk melakukan jenayah.

"Anggaran keseluruhan rampasan termasuk kereta bernilai RM85,000," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, lapan daripada suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Modus operandi dua kumpulan ini dipercayai masuk ke rumah mangsa dengan cara merosakkan pintu besi dan tombol pintu menggunakan alat kuku kambing, mencuri barang berharga termasuk kunci kereta sebelum keluar melalui jalan yang sama.

"Semua suspek berusia lingkungan 18 hingga 33 tahun direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 4:16 PM