PENGAWAL diraja Thai bersiap sedia untuk memberi penghormatan kepada mayat Bhumibol sebelum konvoi membawa mayatnya tiba di Istana Besar di Bangkok. - Reuters
SATU keluarga berpelukan selepas menyaksikan perarakan mayat Bhumibol dari Hospital Siriraj ke Istana Besar menerusi skrin di stesen kereta api Hua Lampong di Bangkok. - AP
AP

Bangkok: Satu konvoi diraja diketuai sebuah van yang membawa mayat Raja Bhumibol Adulyadej memasuki perkarangan Istana Besar di tengah Bangkok semalam lokasi upacara penghormatan terakhir untuk pemerintah yang sangat disayangi rakyat Thailand.

Bhumibol mangkat kelmarin pada usia 88 tahun di Hospital Siriraj lokasi dia dirawat selama beberapa tahun kerana pelbagai penyakit yang menjejaskan paru-paru, hati, buah pinggang dan otaknya.

Ribuan penduduk berbaris di sepanjang jalan menuju ke istana sambil menangis, menundukkan kepala dan memegang potret Bhumibol ketika konvoi itu berlalu.

Sebilangan lagi penduduk dilihat mengeluarkan dan memegang wang kertas yang memaparkan potret Bhumibol. Ada yang sudah berkumpul di tepi jalan sejak kelmarin lagi.

Kebanyakan rakyat Thailand tidak pernah berada di bawah pemerintahan raja lain kerana Bhumibol adalah raja paling lama memerintah di dunia. Mendiang menduduki takhta itu selama 70 tahun.

Anak lelakinya, Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn, yang mewarisi takhta, mengiringi mayat Bhumibol dengan menaiki sebuah van Mercedes kuning.

Vajiralongkorn ditemani pengiringnya Suthida Vajiralongkorn na Ayudhaya. Di belakang mereka terdapat berpuluh-puluh lagi kenderaan.

Mayat Bhumibol ditempatkan di Kuil Buddha Zamrud atau Wat Phra Kaew di dalam kompleks Istana Besar untuk satu tempoh yang tidak didedahkan.

Tiada tarikh ditetapkan untuk upacara pemakaman.

Semalam, adalah hari pertama dalam tempoh 70 tahun Thailand tanpa raja kerana Vajiralongkorn meminta masa untuk berkabung dengan seluruh rakyat sebelum menaiki takhta.

Menurut Perlembagaan, dengan ketiadaan seorang raja, ketua Majlis Privi akan menjadi pemangku raja tetapi situasi itu masih samar kerana waris belum menaiki takhta.

Kerajaan mengumumkan cuti umum semalam dan penduduk di seluruh Thailand memakai baju hitam tanda berkabung dan mata mereka kelihatan merah kerana menangis terlalu lama.

Di seluruh negara, orang ramai masih kelihatan mengalirkan air mata sama ada di dalam bangunan, lif dan premis perniagaan, menunjukkan kuatnya perasaan sayang rakyat terhadap raja mereka.

Tempoh berkabung selama setahun untuk kerajaan diumumkan bersama 30 hari penangguhan untuk semua acara negara dan rasmi. Namun, tiada sebarang arahan dikeluarkan untuk sektor swasta.

Stesen televisyen pula tanpa henti menayangkan program khas mengenai kehidupan Bhumibol.

Walaupun hanya menjadi raja berperlembagaan tetapi Bhumibol mempunyai kuasa politik yang besar dan menjadi tokoh perpaduan ketika Thailand berdepan beberapa krisis politik.

Selain Vajiralongkorn, Bhumibol meninggalkan isterinya, Sirikit , 84, yang juga sakit dan jarang muncul di tempat awam sejak beberapa tahun lalu.

Pasangan itu mempunyai tiga anak perempuan iaitu Puteri Sirindhorn, ahli keluarga diraja yang paling disayangi rakyat selepas Bhumibol, Puteri Ubolratana dan Puteri Chulabhorn Walailak.

Sirindhorn belum berkahwin manakala Ubolratana bercerai dengan suaminya, warga Amerika Syarikat (AS). Kedua-dua puteri raja itu tinggal di AS.

Chulabhorn juga bercerai dengan suaminya dan mempunyai dua anak perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 11:02 AM