TRUMP

Washington: Penderma terbesar parti Republikan semalam menggesa jawatan kuasa kebangsaan parti menggugurkan Donald Trump sebagai calonnya dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat berikutan tuduhan dia melakukan serangan seksual terhadap beberapa wanita.

Sebagai tanda kempen Trump semakin teruk sehingga mencetuskan krisis dalam parti, akhbar New York Times memetik beberapa penderma yang menyumbang jutaan dolar kepada parti itu sebagai berkata, skandal bilionair hartanah itu mengancam parti berkenaan.

“Ada masanya anda perlu lihat di cermin dan berkata, anda tidak mungkin dapat memberi alasan kepada anak anda kenapa anda menyokong Trump - lebih-lebih lagi kepada anak perempuan anda,” kata ahli perniagaan David Humphreys yang menyumbang lebih AS$2.5 juta (RM10.5juta) kepada parti itu sejak empat tahun lalu.

Seorang lagi penderma, Bruce Kovnar berkata: “Dia (Trump) demagog yang langsung tidak sesuai untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat. Bagi mereka yang setia sekalipun, perlu ada garisan untuk menilai sama ada calon kita sesuai atau tidak. Dia jelas sudah melanggar garisan itu.”

Sekurang-kurangnya enam wanita menuduh Trump melakukan serangan seksual terhadap mereka selepas Trump bertegas menyatakan dia tidak pernah melakukan demikian ketika berdebat dengan calon parti Demokrat, Hillary Clinton, Ahad lalu.

Sebelum itu, satu video yang dirakam pada 2005 tersebar menunjukkan Trump berkata, dia boleh memeluk wanita sesuka hatinya kerana taraf selebiritinya.

Bagaimanapun, Trump, 70, masih tidak mempedulikan kecaman terhadapnya sebaliknya menuduh wanita berkenaan ‘pembohong besar’ serta mendakwa Hillary terbabit dalam pakatan dengan media untuk mensabotaj kempennya.

Bercakap kepada New York Times, bekas pengerusi kewangan parti Republikan Al Hoffman merumuskan perasaan dalam kalangan penderma parti itu dengan berkata: “Kami menuju kemusnahan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 11:00 AM