PENYANYI lagu Pelita Di Bawah Purnama lama menghilang selepas kontroversi rumah tangga.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Nama Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 32, pernah menghangatkan industri muzik dan nyanyian tanah air suatu ketika dulu.

Tampil dengan lagu hit balad berjudul Pelita Di Bawah Purnama ciptaan Ajai sekitar 2006, lagu berkenaan berjaya menaikkan nama penyanyi dari Kuching, Sarawak ini.

Namun selepas terjebak dalam kontroversi rumah tangga bersama arwah suaminya, Allahyarham Seri Bayu pada 2008, Erema secara perlahan-lahan terus menyepikan diri sehingga Seri Bayu meninggal dunia pada 2011.

Melalui seorang kenalan, BLING! berjaya menghubungi semula ibu tunggal anak satu itu Rabu lalu dan ternyata Erema bukanlah menyepikan langsung daripada nyanyian.

Malah dia secara diam-diam aktif menyanyi di majlis tertutup termasuk di istana anjuran kerabat diraja.

“Sejak menjadi ibu tunggal saya perlu meneruskan hidup dengan menyanyi. Sekalipun tidak di depan kamera, syukurlah peluang itu ada bagi majlis tertutup anjuran pelbagi pihak.

“Saya rasa cara itu lebih selesa dan tenang kerana kontroversi dalam dunia ‘mainstream’ pernah membuatkan hidup saya tertekan. Selain sibuk menyanyi saya juga mempunyai bisnes kek serta membantu perniagaan keluarga di Sarawak.

“Insya-Allah kalau tiada halangan juga saya akan memiliki jenama pakaian rekaan sendiri. Kebetulan saya memang meminati bidang fesyen,” kata Erema yang ternyata semakin cantik.

Dalam pada itu Erema yang kini berada di Makassar juga merindui untuk merakamkan single terbaru. Namun dek sibuk menyanyi dan menguruskan bisnes, niat itu asyik tertangguh.

“Jadual persembahan saya selalu padat. Tidak hanya di Kuala Lumpur, saya juga diundang menyanyi hingga ke Indonesia.

“Insya-Allah, mungkin saya akan muncul semula dengan lagu atau album terbaru pada 2017 kelak. Saya sedang meneliti beberapa lagu ciptaan komposer Malaysia dan Indonesia sambil memerhati corak pemasaran album mahupun single pada zaman ini yang jauh berbeza.

“Tapi saya tidak pastilah sama ada peminat dunia muzik rakaman masih mengingati saya atau tidak,” ujarnya yang memiliki suara merdu dan mampu menyanyikan lagu dalam pelbagai bahasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 5:00 AM