BOMBA memotong besi sebelum mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Seorang pemuda terpaksa menahan kesakitan selama sejam selepas kakinya tertusuk besi pagar ketika mahu mengambil bola sepak takraw di Gelanggang Sepak Takraw Bandar Sunggala di sini, hari ini.

Mangsa, Mohd Fariz Mokhtar, 24, ketika itu cuba mengambil bola yang melantun keluar pagar namun kakinya tertusuk pada besi.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Telok Kemang, Buang Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.56 petang mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi 10 minit kemudian, anggota mendapati kaki mangsa sudah tertusuk besi.

"Bomba memerlukan lima minit untuk memotong besi itu menggunakan pemotong besi.

"Mangsa diserahkan kepada pihak ambulans sebelum dibawa ke Hospital Port Dickson di sini untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 8:58 PM