Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM menyusun guni pasir sebagai tembok penghadang air di Kampung Tok Muda, Kapar, semalam, dan gambar kanan, pekerja menyusun guni pasir di sepanjang jalan Kampung Panchor, Pantai Remis, Perak, - Foto Bernama
BERNAMA

Shah Alam: Orang ramai dinasihat tidak melakukan aktiviti riadah di kawasan pantai di Selangor bermula Ahad ini sehingga 19 Oktober berikutan fenomena air pasang besar.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna negeri Elizabeth Wong berkata, dalam tempoh itu, paras air di Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dijangka berada pada tahap tertinggi iaitu antara 5.6 hingga 5.7 meter.

"Saya menasihatkan supaya semua aktiviti pelancongan di tepi pantai dan laut ditunda sepanjang tempoh itu. Pelancong juga dinasihatkan tidak ke kawasan pantai barat Selangor ketika fenomena air laut pasang besar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berkata, pihaknya kini sudah bersedia sepenuhnya menghadapi gelombang kedua fenomena itu.

Yang Dipertuanya Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, MDKL mempunyai Skuad Pantas dianggotai 18 anggota yang bersedia digerak bila-bila masa.

“Skuad ini dilengkapi beberapa jentera dan peralatan bagi memberikan khidmat dan bantuan menyelamat," katanya.

Mohd Azhar berkata paras air tertinggi di Kuala Langat dijangka setinggi 5.7 meter pada 6.35 pagi Isnin depan.

Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk yang tinggal berhampiran Pantai Kelanang dan Pantai Tanjung Sepat supaya berwaspada bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 8:45 PM