Twitter Kementerian Kerja Raya
Nurulhuda Kosnon
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya menafikan akan berlaku kenaikan tol di beberapa lebuh raya utama seperti yang viral di Facebook (FB) dan WhatsApp hari ini.

Menerusi Twitter kementerian itu petang tadi, penyebaran maklumat berkenaan adalah palsu dan orang ramai diminta menghentikan penyebaran maklumat yang tidak benar itu.

Dalam pada itu, pengurusan Lebuhraya Duta- Ulu Kelang (DUKE) turut mengesahkan tiada kenaikan tol seperti yang viral di laman sosial Facebook, hari ini.

Melalui kenyataan yang dimuat naik oleh DUKE menerusi akaun FB rasminya pada 4.10 petang, tiada sebarang kenaikan kadar tol di Lebuhraya DUKE..

"Pengurusan Lebuhraya DUKE dengan ini mengesahkan bahawa tiada kenaikan kadar tol sepertimana yang diviralkan di dalam media sosial. Harap maklum," katanya

Selain itu, pengurusan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dalam satu kenyataan turut menafikan mengenai laporan kenaikan tol oleh pihaknya dalam masa terdekat ini.

"AKLEH tidak menaikkan kadar tol sepertimana yang dilaporkan itu," kata kenyataan itu.

Dalam pada masa sama, satu lagi kenyataan dikeluarkan oleh Lebuhraya Maju Ekpressway (MEX) menafikan kenaikan kadar tol berkenaan melalui laman Twitter rasmi syarikat konsesi itu.

"Palsu! MEX menafikan mengenai kenyataan bahawa kadar tol di Lebuhraya MEX akan dinaikkan seperti yang diviralkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 8:11 PM