Putera dan puteri serta isteri Raja Bhumibol Adulyadej. - Foto Agensi
Gambar Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn pada 28 Julai 1952. - Foto AFP
Raja Bhumibol Adulyadej dan Ratu Sirikit pada 1955 bersama Puteri UbolRatana dan Putera Maha Vajiralongkorn. - Foto AFP
Agensi

Bangkok: Putera Mahkota Vajiralongkorn meminta masa yang sesuai sebelum dimasyhurkan sebagai raja Thailand kerana mahu masa untuk berkabung kemangkatan ayahandanya, Raja Bhumibol Adulyadej.

Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha berkata, beliau (Putera Mahkota) meminta diberi masa untuk menangani kesedihan dan menzahirkan kedukaan bersama rakyat di seluruh negara ketika ini,

Putera Mahkota berusia 64 tahun itu berkata Perdana Menteri sudah menerima pelantikannya sebagai waris diraja yang dibuat sejak 1972.

Pada masa sama Parlimen mengadakan sidang sesi khas bertafakur selama sembilan minit kepada raja paling lama menduduki takhta di dunia itu.

Raja Bhumibol, 89, yang bersemayam selama 70 tahun, mangkat pada 3.52 petang semalam, di Hospital Siriraj, Bangkok, ketika menerima rawatan.

Berikut biodata keluarga diraja Thailand

RAJA BHUMIBOL ADULYADEJ: Raja paling lama memerintah di dunia, mangkat ketika berusia 88 tahun, amat disayangi rakyat sehingga ada yang menganggapnya hampir sama taraf dengan dewa. Tidak mempunyai sebarang kuasa politik namun menjadi tunjang kestabilan politik Thailand dengan campur tangan pada waktu memerlukan dalam beberapa krisis politik negara itu. Baginda berusia 18 tahun apabila menaiki takhta pada 1946 dan berkahwin dengan Sirikit Kitiyakara pada 1950, wanita bangsawan Thailand yang ditemuinya di Paris.

RATU SIRIKIT: Ratu berusia 84 tahun yang juga dikatakan sedang menghadapi masalah kesihatan, jarang kelihatan sejak beberapa tahun lalu. Pada Mei 2016, Biro Kerabat Diraja Thailand menyatakan dia mengalami masalah ‘kekurangan darah dalam otak’ yang dialaminya sejak 2012.

PUTERA MAHKOTA MAHA VAJIRALONGKORN: Bakal Raja Thailand berusia 64 tahun itu adalah putera tunggal dan anak kedua Bhumibol, tidak begitu popular dalam kalangan rakyat berbanding ayahandanya. Kehidupan perkahwinan putera itu tidak begitu baik menyaksikan dia berkahwin tiga kali. Vajiralongkorn yang mendapat pendidikan sekolah tinggi di England, adalah lulusan Kolej Tentera Australia di Duntroon pada 1976. Beliau mempunyai rekod 3,000 jam menerbangkan pesawat pejuang ketika latihan ketenteraan di Amerika Syarikat serta boleh menerbangkan helikopter serta pesawat komersil.

PUTERI SIRINDHORN: Paling disayangi rakyat selepas bapanya Raja Bhumibol dan Puteri Maha Chakri Sirindhorn sering digelar ‘Pra Thep’ bermaksuk ‘Puteri Bidadari’. Anak ketiga yang kini berusia 61 tahun amat merendah diri, sering melawat kawasan pedalaman dengan kamera tergantung di leher dan mencatat nota. Puteri itu tidak pernah berkahwin.

PUTERI UBOLRATANA: Anak sulung Raja Bhumibol dan Ratu Sirikit, dilahirkan pada 5 April 951 di Lausanne, Switzerland, ketika Bhumibol belajar di sana. Dibesarkan di Thailand, aktif aktiviti luar, termasuk bersama ayahandanya terutama perahu layar. Ubolratana dan Raja Bhumibol memenangi pingat emas di Sukan SEA pada 1967. Mempunyai ijazah biokimia dari Institut Teknologi Massachusetts pada 1973, berkahwin dengan rakyat Amerika, Peter Ladd Jensen, menyebabkan beliau hilang status sebagai kerabat diraja.

Mempunyai tiga anak sebelum bercerai dan Ubolratana kembali ke Thailand untuk menerima kembali status sebagai kerabat diraja. Anak lelakinya, Poom Jensen, hilang dalam tsunami 2004, dua anak perempuannya tinggal di Amerika.

PUTERI CHULABHORN WALAILAK: Anak bongsu Raja Bhumibol dan Ratu Sirikit dilahirkan pada 4 Julai 1957 di Bangkok. Aktiif dalam kerja saintifik di Thailand dan menerima Medal Einstein dari UNESCO pada 1986. Pernah bertugas sebagai doktor haiwan di sebuah universiti haiwan, mempunyai dua anak perempuan hasil perkahwinan dengan pegawai tentera udara Thailand sebelum bercerai pada 1996.

PUTERI BAJRAKITIYABHA: Cucu pertama Raja Bhumibol dan Ratu Sirikit digelar ‘Ong Pa’, adalah anak sulung Putera Mahkota dengan isteri pertama yang juga sepupunya, Puteri Soamsawali, pada 7 Disember 1978.

Lulusan jurusan undang-undang Universiti Thammasat di Bangkok yang kini berusia 38 tahun, pernah dilantik sebagai duta PBB pada 2008 dan menjadi Duta Thai ke Austria pada 2012 sebelum pulang dan menjadi pendakwaraya.

PUTERI SIRIVANNAVARI NARIRATANA: Lahir pada 1987 ialah anak bongsu daripada lima beradik perkahwinan Putera Mahkota dengan isteri keduanya. Semua empat abangnya berhijrah ke Amerika bersama ibu mereka dan tidak mendapat taraf kerabat diraja. Sirivanavari aktif dalam fesyen dan sukan serta pernah mewakili Thailand dalam badminton dan equestrian. Sering menampilkan fesyen rekaannya di Paris dan Bangkok serta mempunyai jenama sendiri, ‘Sirivannavari.’

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 7:02 PM