Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


Petaling Jaya : Lima lelaki, termasuk tiga anggota polis masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan bermain judi daun terup di parkir di Jalan PJS 8/15, Sungei Way, dua hari lalu.

Anggota polis terbabit iaitu Lans Koperal Nasron Halik, 33; Koperal Jafri Husin, 52 dan Konstabel Muhammad Fauzi Musa, 29, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya membuat pengakuan itu sebaik memahami pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Turut membuat pengakuan sama, penjaga parkir, Yahaya Yaakob, 47 dan Yousuf, 33, warga Bangladesh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bermain judi di tempat awam, iaitu judi daun terup, jam 2.20 petang pada 12 Oktober lalu.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 dan 8 November ini sebagai sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan lapan anggota polis yang leka berjudi ditahan pegawai dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standad (JIPS) Bukit Aman dalam satu serbuan hasil maklumat risikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 5:06 PM