Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Kuala Nerang: Lelaki warga emas meninggal dunia dipercayai diserang sakit jantung ketika menunggu untuk menerima bantuan pada Program Sentuhan Kasih di Pusat Komuniti Masyarakat Cikgu Hashim, Kampung Borakhas, di sini, hari ini.

Allahyarham Salleh Saad, 71, berasal dari Jalan Sungai Korok, Bukit Tembaga, yang menghidap sakit jantung sejak 10 tahun lalu rebah di tepi dewan, pada 10.30 pagi.

Ketika itu arwah sedang menunggu menunggu bantuan hasil sumbangan Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam.

Saksi kejadian yang juga jurukamera stesen televisyen, Mohd Hafiz Jamil, 29, berkata mangsa tiba-tiba rebah dan terkena belakangnya sebelum terjatuh di lantai dewan.

"Saya membantunya sebelum memanggil kakitangan Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam dan mengangkat mangsa untuk mendapat rawatan bantuan pernafasan oleh seorang penduduk.

"Arwah sedikit luka di dahi akibat terjatuh tapi ketika mendapat bantuan pernafasan dia sudah tidak sedarkan diri," katanya.

Pegawai Perubatan Hospital Kuala Nerang yang tiba dengan ambulans kira-kira 15 minit kemudian mengesahkan Salleh meninggal dunia.

Sementara itu, ADUN Kuala Nerang, Datuk Badrol Hisham Hashim yang hadir merasmikan program itu, berkata arwah dibawa ke Hospital Kuala Nerang.

“Arwah akan dikebumikan di tanah perkuburan di jalan Sungai Korok selepas solat Asar petang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 1:32 PM