Phnom Penh: Perdana Menteri Kemboja Hun Sen semalam memerintahkan siasatan diadakan dalam kejadian jangkitan HIV secara berleluasa membabitkan lebih 100 orang dipercayai akibat penggunaan jarum tercemar.

Ratusan penduduk di perkampungan Roka panik melakukan ujian HIV selepas berita jangkitan itu didedahkan minggu lalu dan pihak berkuasa kesihatan percaya 106 orang mungkin dijangkiti.

“Saya mahukan siasatan menyeluruh terhadap kejadian ini,” katanya.

Dia turut menggesa peralatan digunakan untuk mengesahkan jangkitan HIV turut diperiksa.

Pasukan dari Kementerian Kesihatan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNAIDS berada di lokasi itu sejak Selasa untuk memeriksa ujian yang positif selain menawarkan khidmat melakukan ujian secara percuma dan sukarela.

Menteri Kesihatan Mam Bunheng berkata dalam satu kenyataan: “Saya menggesa semua orang bertenang dan elakkan mendengar khabar angin.

“Kita juga perlu menghormati keluarga mangsa dan memastikan mereka tidak berdepan persepsi negatif atau diskriminasi,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:14 AM