ANGGOTA Taliban yang terbabit dalam serangan di sekolah yang mengakibatkan 148 maut, termasuk 132 kanak-kanak.
Agensi

Peshawar

Jurucakap Taliban Pakistan Mohammad Khurasani semalam menjanjikan lebih banyak serangan seperti yang dilakukan pada sebuah sekolah di Peshawar yang menyaksikan 148 orang terbunuh, sejumlah besarnya kanak-kanak.

Dalam e-mel yang dihantarnya semalam, Khurasani berkata, serangan terhadap sekolah itu hanya permulaan.

“Kami masih mampu melancarkan serangan besar. Ini baru permulaannya,” katanya.

Sehubungan itu, dia memberi amaran supaya orang awam di Pakistan menjauhi semua institusi ketenteraan.

Dia sekali lagi mengulangi bahawa serangan Selasa lalu wajar dilakukan pihaknya kerana tentera Pakistan sekian lama membunuh kanak-kanak dan keluarga pejuang mereka.

Menurutnya serangan itu bagi membalas dendam terhadap kematian kanak-kanak dari pelbagai puak yang dibunuh tentera Pakistan.

Ia turut menuduh pelajar di sekolah tentera terbabit ‘menurut jejak langkah bapa dan abang mereka untuk mengambil bahagian dalam pertempuran terhadap puak di seluruh negara.

Kejadian Selasa lalu itu dikatakan diarahkan ketua Taliban di Pakistan, Maulana Fazlullah yang turut bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan pemenang Anugerah Nobel Malala Yousafzai sebelum ini.

Difahamkan, dia mengarahkan orang kanannya, Umar Naray untuk melancarkan operasi itu malah berkomunikasi secara langsung dengan kumpulan terbabit dari pangkalannya di sempadan Afghanistan.

Kumpulan berkenaan juga menyiarkan gambar anggotanya yang terbabit dalam serangan berkenaan yang dilihat memegang pelbagai senjata termasuk pelancar roket dan mesingan.

Mereka dilihat berpakaian biasa dan tentera yang digunakan ketika kejadian untuk mengelak daripada menimbulkan syak sejurus sebelum menyerang sekolah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:13 AM