PRESIDEN MHC, Datuk Seri Subahan Kamal (tujuh dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif KHM, Logan Raj (kanan) bersama penaja dan pasukan hoki kebangsaan wanita dan lelaki, semalam.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Impian untuk menyaksikan kedua-dua skuad hoki negara lelaki dan wanita layak ke Piala Dunia 2018 di India bukanlah sesuatu yang mustahil.

Ini kerana, Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Terry Walsh berpendapat, kedua-dua skuad itu berada di landasan tepat untuk layak ke kejohanan berprestij terbabit.

Meskipun pencapaian kedua-dua pasukan di Liga Hoki Australia (AHL) yang berakhir baru-baru ini dilihat kurang memberangsangkan, namun Walsh percaya ia adalah sebahagian daripada proses pembangunan skuad negara untuk misi layak ke Piala Dunia.

Proses pembangunan itu juga akan berterusan membabitkan pasukan lelaki pada saingan Trofi Juara-Juara Asia yang bakal berlangsung di Kuantan, Pahang bermula 20 hingga 30 Oktober ini.

“Saya rasa untuk pasukan lelaki, mereka mampu layak dengan selesa ke Piala Dunia dan untuk pasukan wanita pula, saya berharap mereka juga dapat melayakkan diri.

“Jika 12 bulan lalu, semua ini umpama impian saja. Sekarang, ia mungkin boleh menjadi kenyataan.

“Inilah sebahagian daripada proses pembangunan dan kami akan cuba membantu kedua-dua pasukan untuk layak ke Piala Dunia menerusi proses yang betul.

“Seperti saya katakan tadi, tumpuan bukan saja untuk pasukan lelaki, tetapi pasukan wanita juga amat berpotensi untuk layak,” katanya.

Jelas Walsh, AHL adalah liga yang cukup kompetitif dan beliau percaya barisan pemain negara sudah menimba pengalaman cukup berharga.

“AHL adalah liga berkelas dunia,” katanya pada sidang media selepas majlis memperkenalkan barisan penaja Trofi Juara-Juara Asia serta pelancaran jersi baharu pasukan kebangsaan semalam tajaan jenama pakaian sukan terkemuka, Kappa.

Jersi terbaru itu mempunyai tiga warna iaitu oren untuk kit utama, biru kit kedua serta putih untuk kit ketiga.

Jenama pakaian terkemuka dari Itali itu akan menaja pasukan senior lelaki dan wanita kebangsaan selama dua tahun dengan jumlah tajaan setiap tahun adalah sebanyak RM350,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 5:11 AM