BALOTELLI (kiri) kembali perkuat pasukan.
AFP

Paris: Jurulatih Nice, Lucien Favre menggesa pendahulu mengejut Ligue 1 itu tidak memandang jauh berbanding pertembungan dengan kelab gergasi Perancis, Lyon awal pagi esok ketika mereka berusaha untuk meneruskan permulaan tanpa kalah.

Nice mendahului musuh Cote d’Azur, Monaco dengan satu mata di puncak liga selepas lapan perlawanan dan Favre meminta pemainnya meneruskan rentak seperti sebelum rehat tugasan antarabangsa.

Pengendali dari Switzerland itu enggan dibuai hakikat Nice meraih pencapaian terbaik sejak menamatkan kempen 1975-76 sebagai naib juara.

“Kami tidak memikirkan mengenainya, tapi hanya fokus terhadap perlawanan itu saja,” kata Favre, yang boleh menurunkan Mario Balotelli selepas kad merah penyerang itu ketika menentang Lorient ditarik balik.

“Hanya tiga mata menjadi pertaruhan dan kami mengambil pendekatan satu perlawanan ke satu perlawanan, ia jalan penyelesaian terbaik,” ujarnya.

“Kami berdepan satu pasukan yang amat bagus. Lyon satu daripada pasukan ternama dalam Ligue 1 buat bertahun-tahun lamanya, mereka memiliki ramai pemain kebangsaan.”

Kepulangan Balotelli berita menggembirakan selepas penyerang Itali itu menjaringkan lima gol dalam hanya tiga aksi liga sejak hadir dari Liverpool.

Pasukan tangga kelima Lyon mengalahkan musuh utama Saint-Etienne 2-0 sebelum ini namun akan ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu jika mereka kecundang di Allianz Riviera. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 5:07 AM