Reuters

London: Aston Villa menugaskan pengurus Steve Bruce (gambar) dengan sasaran mengemudi bekas juara Eropah itu kembali ke Liga Perdana Inggeris.

Bruce, bekas pengurus kelab musuh Villa, Birmingham City, menggantikan pengendali dari Itali, Roberto Di Matteo, yang dipecat selepas bertugas selama 124 hari ketika kelab itu menduduki tangga ke-19 Liga Kejuaraan selepas sebelumnya tersingkir dari Liga Perdana.

“Ia satu peluang menarik. Ia salah satu kelab besar di negara ini. Untuk diberi peluang mengurus amat mengagumkan,” kata Bruce yang berusia 55 tahun.

“Saya menerima cabaran untuk cuba membantu kelab ini ke mana yang dikehendaki mereka dan cuba mengubah nasib buruk yang menimpa sejak beberapa tahun lalu.”

Bruce tidak mempunyai sebarang kelab sejak meletakkan jawatan sebagai pengurus Hull City Julai lalu selepas mengemudi mereka ke Liga Perdana menerusi kemenangan playoff ke atas Sheffield Wednesday.

Bekas kapten Manchester United itu, yang pernah mengendalikan beberapa kelab Inggeris termasuk Wigan Athletic, Sunderland dan Sheffield United, ditemuduga bagi jawatan pengurus England sebelum Sam Allardyce dilantik Julai lalu.

“Dengan latar belakang rekodnya, bukan setakat mengemudi pasukan naik dari Liga Kejuaraan, namun juga pengalaman luas dalam Liga Perdana, saya percaya kami berjaya mendapatkan khidmat seorang pengurus yang cemerlang,” kata pemilik Villa, Tony Xia.

Villa, juara Inggeris tujuh kali, menjuarai Piala Eropah pada 1982 dan berakhir sebagai naib juara di belakang Manchester United pada musim sulung Liga Perdana Inggeris pada 1992-93. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 5:06 AM