Mohamad Rafique (kanan) menerima anugerah daripada Pengasas Global Finance Magazine, Joseph D Giarraputo.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Maybank Islamic sekali lagi dinobatkan pemenang Institusi Kewangan Islam Terbaik Malaysia pada Anugerah Kewangan Global 2016 yang berlangsung pada 8 Oktober lalu di Kelab Media Kebangsaan Washington ketika mesyuarat Tabung Kewangan Dunia (IMF) Bank Dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic merangkap Ketua Perbankan Islam Kumpulan Maybank, Datuk Mohamad Rafique Merican berkata, ia adalah tahun ketiga Maybank Islamic diberikan anugerah berkenaan.

Menurutnya, dalam majlis sama institusi perbankan itu turut diumumkan sebagai Bank Sukuk Terbaik (Global) dan menerima anugerah Penyedia Pelaburan Jangka Pendek Patuh Syariah Terbaik (Global).

“Kami berbangga diberikan pengiktirafan dalam tiga kategori dan kemenangan ini bukti terhadap komitmen serta kebolehan dalam menguruskan kedudukan sebagai peneraju perbankan Islam di peringkat global.

“Malah, menerusi kejayaan diraih ini, ia menjadi pemacu untuk Maybank Islamic menyediakan nilai terbaik kepada pelanggan korporat serta komuniti menerusi rantau dan seluruhnya,” katanya di sini, semalam.

Anugerah terbabit dipertandingkan secara tahunan untuk Institusi Kewangan Islam Terbaik Dunia melalui Global Finance Magazine pada penganjurannya yang ke-9.

Penerima anugerah dipilih berdasarkan syarikat atau firma yang menyumbang secara keseluruhannya kerpada pertumbuhan pembiayaan dan kewangan Islam serta memenuhi segala permintaan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 5:02 AM
Skip this ad x