Putrajaya: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) memeterai perjanjian kerjasama Dana TeraS dengan Maybank Islamic Berhad (MIB) bernilai RM600 juta, menjadikan nilai keseluruhan dana berkenaan ketika ini adalah RM2.2 bilion.

Menerusi perjanjian itu, MIB memperuntukkan RM300 juta untuk pinjaman modal kerja manakala selebihnya untuk pembiayaan pembelian aset Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TeraS).

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Husni Salleh berkata, perjanjian kerjasama itu mempamerkan komitmen berterusan TERAJU untuk meningkatkan prestasi kewangan dan pemilikan aset dalam kalangan usahawan Bumiputera.

Beliau berkata, dana TeraS disediakan kerajaan untuk membantu TeraS meningkatkan perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi dan mewujudkan juara global dalam kalangan syarikat Bumiputera.

“MIB mempunyai nilai kredibiliti yang tinggi dan menjadi antara pembekal perkhidmatan kewangan Islam terbesar di negara ini.

“Menerusi perjanjian ini, pangkalan data pengguna usahawan Bumiputera di institusi kewangan ini bakal digunakan untuk menggalakkan lebih ramai usahawan Bumiputera menyertai program TeraS, sekali gus mendapat akses kepada Dana TeraS,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara TERAJU dan MIB di sini, semalam.

Perjanjian ditandatangani Husni mewakili TERAJU manakala MIB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Muzaffar Hisham. Majlis disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Sebelum ini tiga lagi institusi kewangan yang sudah bekerjasama dengan TERAJU iaitu SME Bank; RHB Islamic Berhad dan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF).

Husni berkata, TERAJU mengambil pendekatan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menggandakan nilai dan impak sesuatu inisiatif dalam memperkasakan ekonomi Bumiputera, dan sehingga November lalu TERAJU sudah berjaya mencipta nilai, peluang perniagaan, pembiayaan dan pembangunan modal insan bernilai lebih RM46.5 bilion.

Program TeraS dilancarkan pada 20 Julai 2011 untuk mengenalpasti syarikat Bumiputera berpotensi tinggi dan membantu syarikat ini meningkatkan perniagaan dengan menyediakan peluang berdasarkan merit.

Dana TeraS pula disediakan sebagai kemudahan kewangan bagi syarikat TeraS untuk terus berkembang dan memaksimumkan keupayaan perniagaan.

Sehingga bulan lalu, sebanyak RM1.64 bil Dana TeraS sudah disediakan untuk syarikat TeraS dan sebanyak 247 permohonan pembiayaan bernilai RM845.42 juta sudah diluluskan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:12 AM