Zatul Iffah Zolkiply

Jertih: Empat penjenayah bertopeng bersenjatakan parang memecah masuk kedai serbaneka 24 jam di Padang Luas dekat sini, 4.40 pagi tadi sebelum melarikan wang tunai dan rokok.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, tiga daripada empat suspek meluru masuk ke kaunter dengan dua daripadanya masing-masing memegang parang.

Katanya, dua suspek mengacukan senjata itu ke arah pekerja kedai sambil mengarahkan dia menyerahkan wang di dalam kaunter dan rokok kepada seorang lagi rakan mereka.

"Seorang lagi suspek pula berada di pintu masuk kedai serbaneka itu dan bertindak sebagai pemerhati.

"Suspek melarikan diri menaiki Perodua Axia dipandu seorang lagi suspek yang dipercayai menunggu di luar.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata," katanya.

Terdahulu, video berdurasi 37 saat itu mula tersebar di laman sosial sejak awal pagi tadi menunjukkan empat suspek lelaki menutup kepala dengan kain batik dan bersenjatakan parang menyamun kedai serbaneka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 6:57 PM
PETIKAN daripada rakaman CCTV kejadian insiden rompak kedai serbaneka 24 jam. FOTO ihsan pembaca