NORFAZILAH
NORFAZILAH berani meluaskan perniagaan sedia ada dengan mengeluarkan pes masakan.
SUAMI tulang belakang yang turut membantu Norfazilah menguruskan perniagaan.
Nor Hanisah Kamaruzaman
wanita@hmetro.com.my


Berani, positif, sentiasa memandang ke hadapan dan tidak pernah berputus asa antara prinsip yang dipegang usahawan wanita berjaya ini menjadikannya mampu memiliki apa yang diimpikan selama ini.

Bermula secara kecil-kecilan, perniagaan Ila Katering dan restoran hanya berbekalkan modal awal RM400.

Pemilik nama Norfazilah Jusoh, 37, ini juga mengakui cabaran yang diharungi bukan mudah dan memberikan seribu satu kekuatan untuk tampil seperti hari ini.

“Jika diimbau kembali pada 2004, daripada merangkak hingga mampu berjalan dan kini berlari, sampai satu tahap suami berhenti kerja membantu menguruskan perniagaan katering serta restoran.

“Dulu saya bermula dengan menjual nasi lemak di tepi jalan dan hari ini perniagaan katering dan restoran makin maju, ia sebenarnya membina satu kekuatan yang sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya di restorannya di Puchong, baru-baru ini.

Pernah dia menerima tempahan paling sedikit iaitu 20 bungkus nasi lemak. Alhamdulilah kini dalam sehari tempahan diperolehnya untuk kira-kira 2,000 tetamu.

Bersyukur dengan nikmat yang diberikan, anak kelahiran Terengganu ini mengakui segala kejayaan tidak diperoleh dengan mudah dan cabaran menjadi guru dalam setiap pengalamannya.

“Bangun jam 3 pagi setiap hari, membawa kereta sendiri yang memuatkan peralatan menjaja nasi lemak di tepi jalan.

“Apabila dikenang kembali, saya tersenyum sendiri. Pernah berlaku insiden payung menjaja yang diletakkan pada bumbung kereta tiba-tiba terjatuh tengah jalan menyebabkan saya tidak boleh berniaga pada hari itu.

“Pernah juga duit hilang ketika berniaga dan kadangkala nasi lemak tidak habis dijual. Namun saya tidak pernah patah semangat,” katanya.

Yakin dengan setiap rezeki Allah, pada 2008, dia mendaftarkan syarikat perniagaannya. Inisiatif turut diambil dengan menghantar sampel makanan percuma ke jabatan kerajaan untuk dicuba.

“Ketika mula membuka perniagaan katering, semua barangan saya sewa dan tiada satu pun pinggan mangkuk atau peralatan saya beli. Tapi, hari ini sudah berbeza kerana ia dibeli sendiri,” katanya.

Tambah Norfazilah, jika dulu segala tempahan katering dihantar menggunakan kereta sendiri atau menyewa van dan lori, kini dia sudah mempunyai pengangkutan serta kakitangan.

Kekal positif

Lumrah kehidupan, setiap pekerjaan termasuk perniagaan sentiasa berdepan cabaran namun sikap positif Norfazilah membuatkan segala cabaran dilalui penuh sabar.

Bertemu dengan pelanggan pelbagai kerenah saban hari antara cabaran yang perlu dihadapi ibu kepada empat cahaya mata ini.

“Paling sukar apabila berurusan dengan pelanggan cerewet, tapi saya sentiasa positif dan anggap ia sebagai pembakar semangat untuk berjaya bukan penghalang dalam perniagaan.

“Lebih ramai pelanggan cerewet menjadikan saya lebih kuat dan kental. Saya pernah menangis kerana ada kalanya penat, tapi bangkit semula kerana tidak seharusnya mudah mengalah,” katanya.

Mengenai pemilihan bidang perniagaan makanan, Norfazilah berkata, semuanya bermula selepas dia berkahwin pada usia muda.

“Saya berkahwin ketika berusia 19 tahun dan waktu itu rasa seperti tiada masa depan kerana apabila sudah bergelar isteri, saya perlu jadi suri rumah.

“Melihat rakan menyambung pengajian di peringkat universiti dan berjaya, saya mahu jadi seperti mereka walaupun sudah berkahwin.

“Ketika itu saya terfikir, sudah ditakdirkan jodoh saya awal, tapi itu bukan bermaksud tidak boleh berjaya jadi saya nekad untuk berniaga,” katanya.

Walaupun tidak berjaya ketika percubaan pertama, Norfazilah nekad untuk terus mencuba dan perasaan cemburu terhadap rakan menjadi pembakar semangatnya.

“Saya tukarkan rasa iri hati itu dan memandang ke arah positif serta menggunakan kelebihan yang ada iaitu bakat semula jadi memasak untuk berjaya seperti wanita lain,” katanya.

Lebih membanggakan, hari ini Norfazilah dan suami, Mohd Azmanizam Bahruddin, 39, terus meluaskan perniagaan mereka dengan menghasilkan beberapa jenis pes iaitu pes mi segera ketam, ikan bakar dan sambal menggunakan resipi sendiri.

“Saya tidak mahu tertumpu kepada perniagaan katering dan restoran saja selain sudah merancang untuk meluaskan perniagaan supaya anak-anak dapat meneruskan warisan ini.

“Saya baru saja mengeluarkan pes masakan atas permintaan ramai dan berharap dalam masa beberapa tahun lagi berjaya membuka syarikat pengurusan majlis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 1:14 PM