KAKITANGAN Natureland, Entopia,Teluk Bahang, menunjukkan kupu-kupu dewasa, Atlas Moth.
MAKLUMAT mengenai spesies rama-rama di Natureland, Entopia, Teluk Bahang.
TAMAN luaran Natureland, Entopia, Teluk Bahang memberi pengunjung pengalaman menarik di kelilingi lebih 50 spesies rama-rama.
ANTARA spesies rama-rama di Natureland, Entopia.
PENGUNJUNG boleh mencuba pelbagai permainan paparan skrin sentuh di Cocoon, Entopia, Teluk Bahang.
PENGUNJUNG berpeluang merasai pengalaman membebaskan rama-rama dewasa yang menjadi sebahagian habitat di Natureland, Entopia, Teluk Bahang.
KUMBANG Man-Face yang terdapat di ruang pameran bawah tanah.
KITARAN hidup seekor rama-rama yang boleh dilihat di pameran Cocoon, Entopia.
Zuhainy Zulkiffli
rencana@metro.com.my


Bagai berada di alam fantasi apabila dikelilingi dan dikerumuni rama-rama pelbagai spesies yang cantik dan berwarna-warni.

Demikian gambaran ringkas ketika berada di bahagian taman luaran dinamakan 'Natureland' di Entopia, tarikan baharu di Pulau Pinang yang dibuka secara rasmi pada 8 Julai lalu.

Taman yang dahulu dikenali sebagai Taman Rama-Rama Pulau Pinang (PBF) itu adalah taman santuari rama-rama, pepatung atau sibur-sibur dan kelip-kelip yang pertama di dunia.

Biasanya pelawat mengambil masa tiga jam bagi meneroka serta mengenali lebih 50 spesies rama-rama di situ.

Selain taman luaran Natureland, Entopia dengan keluasan 100,000 kaki persegi (9,290 meter persegi) turut mempunyai pusat ‘discovery’ (penemuan) tertutup yang dikenali sebagai ‘Cocoon’ berkonsepkan pameran pendidikan mengenai flora dan fauna.

Pengunjung ke Natureland boleh merasai pengalaman bersiar-siar dengan lebih 15,000 rama-rama serta berpeluang melepaskan serangga yang sudah dewasa itu ke habitatnya.

Dikelilingi 200 spesies tumbuhan, air terjun, kolam dan gua buatan, pengunjung boleh merakamkan gambar kenangan bersama rama-rama serta menikmati makanan di restoran berlatarkan keindahan sebahagian Natureland dan rama-rama berterbangan.

Jika mahu merasai pengalaman ala ‘avatar’, Cocoon tempatnya apabila terdapat sebahagian ruang pameran gelap dikenali sebagai Pandora Forest, hanya disinari kerlipan lampu malap seperti berada di hutan pada waktu malam.

Selain itu, ruang pameran dua tingkat itu mempunyai beberapa bahagian iaitu Mystery Cave, Cinerama, Montane Pass, Tiger Trail, Lumino City, Downtown Entopia dan Breeding Ground yang juga tempat pembiakan rama-rama.

Pengunjung boleh meneroka misteri hutan di bahagian Underground Mystery dan Understory Tales yang menempatkan pelbagai spesies serangga, invertebrat dan reptilia kecil yang hidup dalam habitat semula jadi dicipta semula.

Lawatan ke Cocoon pula dijangka mengambil masa dua jam berikutan terdapat beberapa stesen pendidikan yang menawarkan permainan interaktif.

Entopia dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 7 malam dan pengunjung disaran datang lebih awal bagi menyertai pelbagai aktiviti dijalankan seperti memberi makan kepada biawak, iguana, penyu, menangkap serangga, melihat pembiakan rama-rama dan sebagainya.

Bayaran masuk bagi pas dewasa ialah RM49 dan RM29 bagi warga emas dan kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun manakala kanak-kanak bawah tiga tahun dan orang kurang upaya (OKU) percuma.

Entopia yang mesra OKU turut menyediakan kerusi roda kepada golongan terbabit selain tiga bilik susuan dan penukaran lampin sebagai kemudahan kepada pengunjungnya.

Taman rama-rama itu terletak antara taman tema Escape dan Air Terjun Teluk Bahang dan pengunjung boleh menaiki bas RapidPenang laluan Teluk Bahang atau bas dua tingkat PENANG Hop-On Hop-Off (HOHO).

PBF diasaskan David Goh pada 1986 dan pada asalnya pusat pendidikan dan penyelidikan rama-rama dan serangga, namun ditutup selama setahun bermula 8 Mac tahun lalu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan dan penjenamaan semula dengan nama Entopia yang berciri moden, tetapi masih mengekalkan konsep alam semula jadi.

Lebih 90 peratus daripada serangga di Entopia diternak di 11 stesen pembiakan di Pulau Pinang dan kebanyakannya serangga mesra manusia yang tidak menggigit.

Ketua Jualan dan Komunikasi Pemasarannya May Ang berkata, Entopia yang sudah dibuka sejak April lalu sehingga kini mencatatkan lebih 160,000 pengunjung dengan anggaran 32,000 pengunjung setiap bulan.

Beliau berkata, jumlah pengunjung dijangka melebihi 500,000 setahun berikutan jumlahnya melebihi 40,000 orang pada musim cuti.

“Bagi fasa pertama projek ini, kami sudah membesarkan kemudahan lama seluas 2,787 meter persegi kepada 9,290.3 meter persegi dan berharap meneruskan fasa dua dengan keluasan baru kira-kira 13,000 meter persegi pada 2019.

“Selain di Natureland, Cocoon akan memberi pengalaman kepada pengunjung meneroka ruang pameran ala bawah tanah dengan serangga dari hutan hujan yang menempatkan cicada, lipas Madagascar, kumbang Man-Face, kumbang tanduk, kala jengking, luwing dan pelbagai lagi, malah kelihatan seolah-olah pengunjung berlegar di ruang bawah tanah bersama pelbagai spesies serangga.

“Kami juga mempunyai bahagian tempat pembiakan di Cocoon yang membolehkan pengunjung menyaksikan kerja belakang tabir membiakkan rama-rama daripada beluncas kepada kepompong,” katanya.

Beliau berkata, Lumino City di Cocoon pula menjadi tempat pengunjung mengetahui lebih lanjut mengenai kitaran hidup kelip-kelip.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 12:28 PM