VOON (kanan) bersama Khor pada Pengumuman Keputusan Kewangan SP Setia 2014, semalam.

Kuala Lumpur: SP Setia Berhad (SP Setia) yakin untuk mencapai nilai jualan sebanyak RM4.6 bilion bagi tahun kewangan 2015 terutama disumbang oleh permintaan kukuh hartanah.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Voon Tin Yow berkata, kumpulan berjaya merekodkan jumlah jualan sebanyak RM4.62 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2014.

Katanya, kumpulan turut menyasarkan jumlah jualan itu dapat dikekalkan bagi tahun kewangan 2015 berikutan terdapat beberapa projek yang akan dilancarkan tahun depan.

“Daripada nilai jualan yang direkodkan itu, sebanyak RM1.8 bilion disumbangkan oleh jumlah jualan antarabangsa dan bakinya, RM2.82 bilion daripada pasaran Malaysia.

“SP Setia juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM722.4 juta daripada jumlah pendapatan RM3.8 bilion dan ini mewakili peningkatan 10 peratus dalam PBT dan 17 peratus bagi pendapatan kumpulan berbanding tahun 2013,” katanya taklimat media di sini.

Menurutnya, peningkatan pendapatan itu disumbang terutama daripada pendapatan lebih tinggi daripada pembangunan hartanah disebabkan jualan kumpulan lebih tinggi dicapai sejak tahun kewangan 2012.

Beliau berkata, jualan yang belum dibilkan kumpulan itu berjumlah RM10.9 bilion yang mana akan menyumbang secara positif kepada pendapatan untuk beberapa tahun kewangan akan datang.

SP Setia juga mengumumkan dividen akhir sebanyak 5.7 sen sesaham dan dividen interim sebanyak 4 sen sesaham menjadikan jumlah keseluruhannya 9.7 sen sesaham.

Sementara itu, Voon sudah menyerahkan notis berhubung hasratnya untuk bersara, termasuk melepaskan kerusi lembaga pengarah dan beliau akan meninggalkan SP Setia pada 1 Januari 2015.

SP Setia juga mengumumkan pelantikan Datuk Khor Chap Jen sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, manakala Datuk Wong Tuck Wai sebagai Pemangku Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi, berkuat kuasa 1 Januari 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:10 AM