PENYOKONG Trump menghadiri perhimpunan di Panama City, Florida. - Reuters
Agensi

Ohio (Amerika Syarikat): Pengundi muda Amerika Syarikat (AS) tidak pedulikan sejarah skandal seks bekas Presiden Bill Clinton walaupun cuba digunakan calon Republikan, Donald Trump untuk menjatuhkan kredibiliti saingannya dan isteri mantan pemimpin itu, Hillary.

Trump berusaha membuka semula skandal seks Clinton dan peranan dimainkan Hillary dalam ‘menutup’ isu berkenaan satu ketika dulu sebagai taktik utamanya dalam kempennya.

Namun ia tidak memberi kesan terhadap pengundi muda yang walaupun tidak menyokong Hillary, nampak lebih cenderung meluat dengan Trump dalam kempen pilihan raya presiden yang tinggal kurang sebulan itu.

Ramai pengundi muda tidak ingat zaman pentadbiran di bawah Clinton dan cuma tahu mengenai skandal bekas presiden itu terutama membabitkan Monica Lewinsky sebagai sebahagian daripada sejarah negara mereka.

Pengundi, Rachel Onusko berkata: “Saya ke sini untuk menyokong Hillary. Pada saya baguslah suaminya menyokongnya, tetapi faktor utama adalah Hillary tiada kaitan dengan perlakuan suaminya sebagai presiden satu ketika dulu.

“Pada saya, mesej yang penting untuk dilihat adalah betapa kuatnya Hillary sebagai seorang wanita yang teguh mempertahankan pendiriannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 9:51 AM