Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Rembau: Tiga pesalah trafik yang menggunakan lorong kecemasan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan di daerah ini, didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan itu.

Tertuduh Noraine Ahamad, 59, didenda RM1,500 manakala Norhafizah Abdul Majid, 36, (RM1,000) dan Chan Hua Wei, 29, (RM1,000) oleh Majistret Tan Chai Wei selepas mereka mengaku bersalah atas tuduhan itu.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, mereka didakwa memandu kenderaan di lorong kecemasan di KM225, KM227.4 dan KM232 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara.

Mereka dikesan melakukan kesalahan berkenaan pada Ops Hari Raya yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 30 Jun hingga 16 Julai lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Kaedah 53(1) Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1959 yang memperuntukkan denda hingga RM2,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan kes dilakukan Pegawai Pendakwa JPJ Mazlan Mohmad Shah manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain itu, JPJ mengeluarkan waran tangkap terhadap lima pemandu yang gagal hadir bagi menghadapi pertuduhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 7:53 PM
TERTUDUH (dari kiri) Noraine, Hua Wei dan Norhafizah didenda oleh Mahkamah Majistret Rembau. FOTO Dzulkeffli Mustapha