GENERASI muda mudah terdedah.
AKTIVITI online kanak-kanak perlu dipantau. - Gambar hiasan
CIRI dalam YouTube Kids
CIRI dalam YouTube Kids
CIRI dalam YouTube Kids
CIRI dalam YouTube Kids
myMetro

Berbilion kandungan yang bertebaran di laman maya atau Internet pada masa kini sememangnya mempunyai banyak nilai positif dan memberi pengetahuan masuk ke dalam minda.

Namun, dalam setiap kebaikan ada juga berita sedih apabila Internet boleh menjadi lubuk kandungan tidak elok terutama kepada kanak-kanak.

Berbeza orang dewasa yang berkemungkinan lain ceritanya apabila mereka boleh menilai baik dan buruk seterusnya menutup laman atau kandungan yang disifatkan tidak sesuai ketika ‘online’.

Meskipun ada penyedia kandungan yang menapis kandungan sebelum ia disalurkan ke Internet, masih ada ruang yang dieksploitasi penyangak siber sehingga kandungan tidak sepatutnya bersiaran kini bebas.

Mana tidaknya, dunia tanpa sempadan malah di laman sah seperti YouTube pun boleh mengandungi pornografi tanpa disedari.

Menonton video antara aktiviti kanak-kanak yang paling aktif di Internet terutama bagi mereka yang berumur 10 tahun ke bawah atau masih tidak mendengar arahan ibu bapa dengan jelas.

Telefon pintar atau tablet menjadi pemudah cara bagi sesetengah ibu bapa untuk mengawal anak masing-masing bagi mengelak gangguna apabila melakukan aktiviti biasa seperti makan di restoran atau bekerja sambil membawa anak.

Sudah pasti platform utama menonton video ketika online ialah melalui YouTube.

Namun dengan jutaan kandungan, kanak-kanak biasanya tertarik dengan ‘thumbnail’ video di laman utama apabila membuka YouTube, kadang-kadang boleh menyambungkannya kepada video yang tidak patut ditonton kanak-kanak.

Bukan saja video yang menjurus kepada kelucahan namun keganasan, kepercayaan yang terpesong dan sebagainya boleh mengakibatkannya masuk ke minda kanak-kanak jika tidak dibendung.

Oleh itu, penapis automatik seperti YouTube khas kepada kanak-kanak perlu disediakan.

Google menyediakan YouTube Kids, laman video yang dibangunkan khas untuk kanak-kanak nampak tidak jauh bezanya dengan YouTube biasa.

Ia dilancarkan di Amerika Syarikat sebelum ini namun ibu bapa boleh mengaksesnya di Malaysia sekarang bagi mengawal tontonan video kanak-kanak pada platform yang popular terbabit.

Kalau dilihat pada YouTube Kids, ia mempunyai antaramuka yang ringkas dengan beberapa ikon seperti perkataan mempunyai ‘font’ yang besar.

Jika pengguna meleretkan paparan ke kiri, senarai video yang pernah ditonton akan disenaraikan. Ia memudahkan kanak-kanak mencari semula video kegemaran mereka tanpa perlu bantuan orang dewasa.

Bagaimanapun, ibu bapa boleh memadamkan fungsi mencari jika mereka hanya ingin anak mereka menonton video yang dibenarkan saja.

Menariknya mengenai aplikasi YouTube ini adalah pemasangan kata laluan yang akan dipamerkan dengan perkataan dalam bahasa Inggeris sebelum ibu bapa perlu menulis nombor terbabit semula dalam empat angka.

Ia bagi membolehkan akses kepada laman YouTube Kids terbabit malah terdapat tetapan ibu bapa boleh menetapkan masa untuk menonton video sebelum aplikasi terbabit akan tertutup dengan sendirinya sebaik tempoh masa ditetapkan tamat.

Ketika video dimainkan, tiada pilihan memilih resolusi namun terdapat piliihan mengaktifkan ‘caption’ dan melaporkan video sekiranya kandungan itu tidak sesuai untuk ditayangkan di YouTube Kids.

Selain YouTube, terdapat juga perisian kawalan ibu bapa yang boleh pantau aktiviti kanak-kanak melalui Internet dan menyekat kandungan tidak sesuai.

Bagi kanak-kanak di bawah umur 10 tahun, adalah lebih baik bagi ibu bapa ada bersama mereka ketika menggunakan Internet. Wujudkan peraturan seperti had masa guna telefon pintar, laptop dan tablet.

Penggunaan Internet pada waktu malam dan letak komputer dalam bilik yang boleh dipantau ibu bapa.

Kebanyakan perisian antivirus kini turut menawarkan log khas bagi ibu bapa memantau penggunaan Internet oleh kanak-kanak dan menetapkan tempoh masa tertentu yang mengelakkan salah guna.

Namun paling penting, ibu bapa sendiri perlu bersikap terbuka untuk berbincang dengan anak masing-masing mengenai kepentingan Internet dan perkara negatif yang boleh dilihat dalam laman tertentu.

Ibu bapa perlu mendidik anak dengan memaklumkan mereka video boleh ditonton dan tidak atau perlu ditutup terus sekiranya ia ditayangkan secara automatik.

Kebanyakan kanak-kanak menggemari visual seperti animasi namun terdapat juga animasi yang hanya sesuai ditonton orang dewasa.

Di sinilah peranan ibu bapa untuk tidak leka dan membiarkan anak menonton berseorangan.

Kadang-kadang, lebih baik ibu bapa menonton bersama video yang digemari anak dan berbincang mengenai kandungan video terbabit bersama mereka.

Sekurang-kurangnya, ketika anda sedang melakukan kerja dan anak menonton video, anda sudah boleh mengesan dari jauh audio yang datang dari video terbabit sama ada ia siri kartun biasa atau sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 1:17 PM