Ibu pejabat Samsung di Seoul, Korea, dan Note 7 yang terbakar.
Reuters

Seoul: Selepas memutuskan untuk memberhentikan sementara pengeluaran Note 7, Samsung hari ini meminta pemilik telefon pintar itu, sama ada model pertama atau model gantian supaya mematikan dan tidak tidak menggunakannya ketika syarikat itu menyiasat laporan telefon berkenaan terbakar.

Walaupun belum mengeluarkan kenyataan rasmi, namun Samsung dikatakan sedang menimbang untuk memberhentikan terus pengeluaran serta jualan model terkini dan tercanggih telefon pintar syarikat itu.

Akhbar Korea Selatan, Hankyoreh, melaporkan Samsung merancang memberhentikan terus pengeluaran Note 7.

Pengeluar telefon pintar utama dunia itu meminta semua pengedar di seluruh dunia menghentikan jualan serta pertukaran Note 7 ketika ia menyiasat punca telefon gantian terbakar.

Beberapa minggu selepas dilancarkan dua bulan lalu, Samsung menarik balik 2.5 juta unit Note 7 berikutan banyak kejadian model itu terbakar yang dikatakan berpunca daripada bateri dan menawarkan gantian Note 7 diperbaiki atau pulangan wang.

“Pengguna sama sama Note 7 asal atau model gantian perlu mematikan telefon itu dan berhenti menggunakannya,” kata Samsung dalam kenyataan hari ini.

Menurut penganalisis, pemberhentian pengeluaran Note 7 akan menyebabkan Samsung kerugian AS$17 bilion serta menjejaskan imej dan reputasi produk lain keluarannya, terutama telefon pintar.

Saham Samsung merosot lapan peratus bernilai $18.8 bilion semalam, kejatuhan terbesar dalam sehari sejak 2008.

Berikutan masalah itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat dan Kementerian Pengangkutan Korea Selatan menegaskan Note 7 tidak boleh diguna atau dicaj dalam pesawat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 6:40 PM