Abdul Hadi (kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu Asisten Superintendan Darmansah Roslan memeriksa kereta Proton Wira milik suspek berusia 42 tahun yang disita kerana mengedar dadah. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Jitra: Dua lelaki yang juga pengedar dadah ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kampung Baru Mukim Jeram dan Pida 1, Jalan Lana Bulu, di sini, semalam.

Dalam serbuan itu, heroin, wang tunai serta kereta dengan nilai RM32,696, dirampas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abdul Hadi Hassan berkata, dalam serbuan pertama jam 12.50 tengah hari pihaknya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun di sebuah rumah di Kampung Baru Mukim Jeram kerana di dapati dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui satu beg silang milik suspek mengandungi satu paket plastik lutsinar disyaki dadah heroin seberat 56.65 gram, 28 biji pil Eramin 5 dan satu paket plastik disyaki dadah syabu.

"Dalam serbuan itu kita turut merampas sebuah kereta Proton Wira milik suspek bagi membantu siasatan dan nilai dadah yang dirampas adalah sebanyak RM2,000.

"Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah dan siasatan mendapati dia tiada rekod jenayah lampau," katanya.

Abdul Hadi berkata, dalam serbuan kedua pula seorang lelaki berusia 24 tahun turut ditahan di kawasan Pida 1, Jalan Lana Bulu, di sini, jam 2 petang dan merampas dadah disyaki heroin seberat 76.43 gram.

"Ketika serbuan itu suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan dan hasil soal siasat kemudian, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Desa Pahlawan sebelum menemui satu beg plastik berisi tiga paket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki heroin seberat 288.64 gram.

"Turut ditemui adalah wang tunai sebanyak RM11,196 dipercayai hasil jualan dadah dan ujian air kencing suspek adalah negatif," katanya.

Beliau berkata, kedua-duanya dipercayai baru empat bulan menjadi pengedar dadah di kawasan ini dan nilai rampasan keseluruhan termasuk kereta bernilaiRM32,696.

"Mereka direman bermula hari ini sehingga 17 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

caption

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 1:57 PM