Ramli (kiri) menunjukkan rangka motosikal yang dirampas daripada dua kumpulan curi motosikal. FOTO Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Melaka: Polis negeri ini menumpaskan dua kumpulan curi motosikal yang melakukan jenayah itu sejak 2013 dalam Ops Lejang Khas.

Seramai 21 lelaki iaitu ahli dan ketua kumpulan itu berusia antara 13 hingga 34 tahun ditahan dalam operasi selama 11 hari bermula 26 September hingga 6 Oktober lalu.

Ketua Polis negeri Datuk Ramli Din berkata, dengan tertangkapnya suspek sejumlah 32 rangka termasuk motosikal dan enjin dirampas.

"Antara modus operandi yang digunakan adalah suspek akan menaiki sebuah kereta seramai empat orang dan mencari motosikal yang diparkir sebelum mencurinya.

"Kawasan yang sering menjadi sasaran adalah di sekitar Kandang, Bandar Melaka, Sungai Rambai dan Alor Gajah yang mana kes kecurian motosikal menyumbang 40 peratus kepada indeks jenayah," katanya.

Menurutnya, motosikal yang dicuri ada yang dileraikan komponen dan dijual kepada pengedar dadah bagi membolehkan suspek mendapat bekalan malah sebuah motosikal juga hanya dijual antara RM 250 hingga RM400.

Katanya, mereka kini direman bagi melengkapkan siasatan sebelum dituduh di mahkamah selain kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 1:53 PM