CARA menggunakan Sistem Osmosis untuk tanaman kubis.
SEBAHAGIAN pokok tin ditanam menggunakan Sistem Osmosis.
MOHD Syafiq dan Siti Aishah bersama peralatan digunakan untuk membangunkan Sistem Osmosis.
Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my

Impian mencetuskan inovasi melalui idea terbaru dalam sektor pertanian mendorong anak muda, Mohd Syafiq Ahmad Khasasi, 25, membangunkan teknologi pertanian.

Anak kelahiran Sik, Kedah, berkelulusan diploma dalam bidang pertanian dari University College Of Agroscience Malaysia (UCAM) ini berjaya mencipta inovasi dalam teknologi penanaman dikenali sebagai Sistem Osmosis (OS).

Mohd Syafiq yang berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Pertanian di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebelum ini berjaya mencipta teknik penanaman buah tin, anggur, kurma serta strawberi sepanjang berkhidmat di fakulti berkenaan.

Menurutnya, idea menghasilkan inovasi itu bermula sejak 2013 apabila beliau mengusahakan penanaman pokok tin di kebun FPTV.

“Pada masa itu, tiada kaedah dapat membantu memudahkan kerja pertanian terutama proses penyiraman air dan pembajaan untuk tanaman.

“Ini memberikan saya idea untuk mencipta sistem yang dapat membantu memudahkan proses penyiraman air dan pembajaan untuk tanaman secara serentak,” katanya.

Beliau yang juga felo Kolej Aminuddin Baki (KAB) berkata, selepas pelbagai usaha dan kajian dibuat, terhasil sistem diberi nama OS iaitu penyiraman air dan baja yang disalurkan secara serentak kepada tanaman.

“Proses penyiraman air dan baja ini berlaku secara automatik iaitu dengan menggunakan daya graviti dan pergerakan molekul air dari kecerunan tinggi ke kecerunan rendah.

“Penyerapan air dan baja kepada akar tanaman diperoleh ketika berlaku proses tranpirasi dan fotosintesis. Kebaikan sistem ini ialah penyerapan baja dan air adalah sekata kepada semua pokok, sekali gus tidak berlaku pembaziran baja dan air semasa proses penyiraman,” katanya.

Mohd Syafiq mengakui sistem ciptaannya dapat membantu petani kerana memiliki kelebihan dan menguntungkan mereka berikutan pengaliran air dan baja untuk tanaman tidak perlu menggunakan tenaga elektrik disebabkan ia hanya menggunakan daya graviti.

“Tanaman juga boleh ditanam bermula dari semaian anak pokok hingga pokok matang kerana sistem ini akan membekalkan air dan baja mencukupi. “Malah, OS boleh digunakan sama ada untuk tanaman secara kecil-kecilan mahupun komersial. Ia juga mengurangkan risiko pembiakan nyamuk kerana tiada air bertakung selain menjimatkan masa kerana tidak lagi perlu bersusah payah melakukan proses penyiraman sendiri,” katanya.

Menurutnya, OS tidak memerlukan pemantauan rapi terhadap penyiraman air dan pembajaan kerana sistem itu sendiri dianggap efisien kerana menjimatkan kos.

“Saya mendapat sokongan isteri, Siti Aishah Zainol, 25, dan dibantu pesara Jabatan Pertanian Kedah, Zainol Hashim, 59, dari segi teknikal.

“Kami melakukan ujian keberkesanan sistem berkenaan selama hampir dua tahun dengan membina beberapa rumah hijau bersaiz empat kaki lebar dan 10 kaki panjang sehingga benar-benar berpuas hati dengan sistem berkenaan,” katanya.

Katanya, kini sistem berkenaan digunakan untuk mengusahakan projek penanaman pokok tin secara komersial dengan membina rumah hijau di Jalan Tanjung Malim-Slim River berkeluasan 30 kaki lebar dan 40 kaki panjang bagi menempatkan hampir 30 varieti pokok tin.

“Saya berhasrat mengadakan kerjasama dan berkongsi ilmu penanaman ini dengan memberi bimbingan kepada ahli Himpunan Anak Kedah (HAK) UPSI.

“Maklumat lanjut berkaitan sistem yang dibangunkan boleh dikongsi menerusi Facebook Cikgu Kebun (CK),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 12:48 PM