Antara gambar Note 7 gantian yang dimuat naik di media sosial sejak minggu lalu, selepas ia terbakar.
AFP

Seoul: Pengeluar telefon pintar terkemuka dunia Samsung terus dilanda masalah apabila terpaksa memberhentikan pengeluaran Note 7 berikutan telefon gantian bagi menggantikan model berkenaan yang mengalami masalah bateri sebelum ini juga masih mempunyai masalah yang sama.

“Kami dalam proses ‘menilai kembali’ jumlah pengeluaran,” kata Samsung dalam jawapannya berikutan laporan mengenai masalah berkenaan.

Sejak minggu lalu, banyak laporan muncul di Internet dan media sosial mengenai telefon gantian Note 7 terbakar menyebabkan firma telekomunikasi Amerika Syarikat AT&T serta T-Mobile mengumumkan ia memberhentikan pertukaran telefon untuk Note 7.

Menurut Bloomberg, AT&T ialah pelanggan ketiga terbesar Samsung manakala T-Mobile, keempat.

Samsung sebelum ini, menarik balik kira-kira 2.5 juta unit Note 7 beberapa minggu selepas dilancarkan berikutan baterinya terbakar dan ada yang meletup. Ia kemudian menggunakan bateri daripada pembekal lain untuk Note 7 yang baru.

Samsung dilaporkan memberhentikan sementara pengeluaran Note 7 selepas perbincangan dengan pihak berkuasa keselamatan pengguna Korea Selatan, Amerika Syarikat dan China.

AT&T bagaimanapun berkata, ia masih memberi tawaran kepada pengguna untuk menukar Note 7 kepada model Samsung yang lain atau jenama lain manakala T-Mobile memberhentikan terus jualan serta penukaran.

Telefon gantian yang juga bermasalah itu menyebabkan imej serta reputasi Samsung terjejas teruk.

“Samsung boleh memberhentikan pengeluaran dan jualan Note 7 namun masalah tidak berakhir di situ, ia menjejaskan imej jenama Samsung serta menjejaskan jualan model Galaxy yang lain,” kata penganalisis kewangan dan pasaran dari Dongbu Securities, S R Kwon.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 6:26 PM