PERODUA Alza yang remuk akibat terbabit dalam kemalangan. FOTO Nor Hayati Zainudin
Nor Hayati Zainudin
am@hmetro.com.my


Alor Gajah: Wanita maut, adik perempuannya parah manakala empat lagi cedera dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Garing, Machap, Alor Gajah, 11.50 malam semalam.

Mangsa Nurul Nabila Zamri, 25, bekerja sebagai operator pengeluatan di kilang di Batu Berendam, meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat parah di kepala, manakala adiknya berusia 24 tahun patah kedua-dua belah kaki, tangan kiri dan cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Proton Iswara Aeroback dipandu mangsa hilang kawalan dan memasuki laluan bersebelahan sebelum berlanggar dengan Perodua Alza dinaiki empat sekeluarga.

"Ketika kejadian mangsa bersama adik perempuan juga bekerja di kilang sama dipercayai dalam perjalanan dari Durian Tunggal menghala ke Machap.

"Empat beranak menaiki Perodua Alza pula membabitkan suami isteri bersama dua anak perempuan mereka berusia tiga dan tujuh tahun. Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan," katanya.

Manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 4:38 PM