BOT yang dilaporkan hilang ditemui terapung kira-kira 25 batu nautika dari Pulau Mantanani. FOTO ihsan APMM
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Tiga belas pemancing termasuk tekong dan dua awak-awak yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Mengalum dan Pulau Mantanani, semalam ditemui selamat kira-kira 25 batu nautika dari pulau berkenaan, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pemilik bot yang hilang bahawa bot nelayan ternampak bot berkenaan dalam keadaan terapung dipercayai mengalami masalah enjin di kawasan Pulau Mantanani.

"Susulan daripada itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu menghantar pesawat udara dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) ke lokasi bagi mengesan maklumat berkenaan.

"Pada jam 1.20 tengah hari tadi, PGU mengesahkan bot yang hilang berada di posisi berkenaan sebelum mengarahkan dua kapal APMM ke lokasi berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, dua kapal APMM tiba di lokasi berkenaan pada 2.30 petang dan dalam usaha menunda bot mangsa balik ke Jeti Lembaga Pemasaran Ikan Sabah (Safma) Kota Kinabalu.

"Semua mangsa dalam keadaan sihat dan selamat.

"Bot berkenaan dijangka tiba di jeti berkenaan selewat-lewatnya 9 malam ini," katanya.

Terdahulu, 13 pemancing termasuk tekong dan dua awak-awak dilaporkan hilang ketika keluar memancing di Pulau Mengalum dan Pulau Mantanani, sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh pihak berkuasa 8.30 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 4:12 PM