MULAKAN usaha untuk tingkatkan aktiviti fizikal. - gambar hiasan
Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


“Cuba tengok orang di sekeliling anda. Lihat emak, adik-beradik terutama abang dan kakak anda. Anda akan dapati kebanyakannya mempunyai saiz badan yang berganda berbanding ketika mereka muda,” kata seorang pakar jantung dalam satu forum kesihatan lebih 10 tahun lalu.

Kata-kata pakar jantung yang sentiasa tampak awet muda dan berperawakan segak (selain mempunyai berat badan ideal itu) memang benar. Dalam keluarga penulis juga begitu, kebanyakannya agak ‘mengembang’, apatah lagi selepas memasuki gerbang 40 tahun.

Apabila berkumpul, ada saja yang akan menegur apabila seseorang dilihat semakin berisi. Biasanya teguran dalam bentuk jenaka itu disambut dengan senyuman, tiada yang terasa hati kerana tahu ia teguran kasih sayang yang tidak mahu melihat saiz badan ahli keluarga terus ‘membesar’.

Memang ada kala semangat luntur sekejap untuk melakukan usaha mengawal berat badan. Namun terus membiarkan saiz badan semakin mengembang adalah satu bentuk sabotaj dan penganiayaan pada diri sendiri. Ini kerana kegemukan itu sebenarnya menyusahkan. Apabila badan berat, pergerakan jadi payah dan perlahan.

Kegemukan akan memberi tekanan besar kepada kaki. Lama-kelamaan, ia akan menyebabkan kita sakit lutut, buku lali dan tapak kaki. Apabila kesakitan ini dirasai, kita secara automatik akan mengurangkan pergerakan dan akibatnya, badan semakin besar sekiranya tabiat pemakanan tidak diubah.

Bagi umat Islam, kegemukan melampau atau obesiti akan menyukarkan kita menunaikan solat dengan sebaik-baiknya. Jadi jika kita termasuk dalam kumpulan yang ‘kembang’, marilah kita sama-sama berusaha mengurangkan berat dan saiz badan demi kebaikan diri sendiri.

Kita semua tahu, obesiti itu memberi impak besar kepada kesihatan setiap orang. Namun dalam kajian terbaru menunjukkan obesiti adalah tiga kali lebih berbahaya terhadap lelaki berbanding wanita. Dalam kajian yang membabitkan hampir empat juta lelaki dan wanita di seluruh dunia didapati risiko kematian sebelum mencecah umur 70 ialah 19 peratus bagi lelaki dan 11 peratus bagi wanita yang mempunyai berat badan normal.

Namun risiko melonjak kepada 30 peratus bagi lelaki obes dan 15 peratus bagi wanita obes. Ini peningkatan 11 peratus bagi lelaki dan empat peratus bagi wanita.

Menurut ketua penyelidik, Richard Peto, pensyarah epidemiologi dan statistik perubatan di Universiti Oxford di England, obesiti antara punca utama yang menyebabkan kematian awal di Amerika - satu tangga di belakang tabiat merokok.

“Jika anda boleh kurangkan kira-kira 10 peratus daripada berat semasa, seseorang wanita itu dapat menurunkan 10 peratus risiko kematian sebelum berumur 70 tahun. Bagi lelaki, risiko ini boleh dikurangkan sebanyak 20 peratus,” katanya.

Persoalan mengapa lelaki obes lebih berisiko mati awal berbanding wanita belum ditemui jawapan pasti.

“Kajian kami tidak dapat menjawab persoalan ini, tetapi pemerhatian terdahulu mendapati lelaki obes mempunyai risiko kerintangan insulin, paras lemak hati dan diabetes yang lebih tinggi berbanding wanita,” kata pensyarah di Universiti Cambridge, Dr Emanuele Di Angelantonio yang turut mengetuai kajian berkenaan.

Masih banyak kajian perlu dilakukan bagi memahami kaitan atau bagaimana berat badan, pertambahan dan pengurangan berat boleh mempengaruhi kematian, kata penyelidik kanan di cawangan biostatistik Institut Kanser Nasional Amerika Syarikat, Barry Graubard.

Bagaimanapun, langkah mencegah atau mengelak obesiti mempunyai banyak manfaat kepada lelaki dan wanita. Antara cara yang sudah dikenal pasti dalam banyak kajian terdahulu untuk mencegah obesiti ialah melakukan aktiviti fizikal yang dapat mengurangkan risiko kematian awal, katanya.

Dalam kajian terbaru itu, penyelidik mengumpulkan data daripada 3.9 juta orang dewasa berusia antara 20 hingga 90 tahun. Maklumat itu datang daripada 189 kajian terdahulu yang dijalankan di Eropah, Amerika Utara dan tempat lain.

Dalam tempoh kajian, sebanyak 400,000 peserta kajian meninggal dunia. Apa yang menarik, kajian itu juga mendapati individu yang terlalu kurus atau kurang berat badan juga berisiko tinggi untuk mati awal.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan seramai 1.3 bilion penduduk dewasa dunia mengalami masalah kegemukan dan lebih 600 juta pula obes. Sejak dulu lagi, kajian membuktikan obesiti mempunyai kaitan rapat dengan kematian akibat penyakit jantung, strok, diabetes dan kanser.

Mungkin ada yang berkata, semua orang akan mati tidak kira mengalami masalah obesiti atau tidak. Benar, kematian itu adalah pasti dan setiap orang sudah ditetapkan had umurnya. Namun apa yang kita tidak mahu ialah penyakit yang boleh membuatkan kita menderita lama sebelum ajal menjemput.

Tiada siapa yang tahu bila dan bagaimana pengakhiran hayat kita nanti. Kajian membuktikan obesiti boleh mendekatkan kita dengan pelbagai penyakit kronik - yang secara tidak langsung akan membuatkan kita terpaksa bergantung kepada bantuan ahli keluarga dan mungkin menjadi beban pada mereka.

Jadi sudah sampai masanya untuk kita lakukan sesuatu demi kesihatan diri sendiri. Mulakan dengan langkah kecil, mengubah gaya hidup - ambil makanan sihat, sukat kuantiti makanan dan belajarlah untuk bersenam. Bukankah lebih baik jika kita kekal sihat dan boleh menunaikan ibadat sebaik mungkin sehingga hujung hayat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 1:01 PM