PERANG poster antara cara calon meraih undi daripada warga kampus. - Gambar hiasan
PRK berlangsung aman menjadi penanda aras sejauh mata kematangan siswa membuat pilihan. - Gambar hiasan
SISWA semakin matang membuat pilihan dengan menumpukan perhatian kepada isu kebajikan di kampus. - Gambar hiasan
PRK menjadi platform kepada siswa meraih pengalaman berdepan sistem demokrasi. - Gambar hiasan
MELALUI PRK, tahap amalan demokrasi dapat diukur melalui beberapa instrumen penting seperti hak kebebasan memilih, bersuara, bertanding, berkongsi maklumat dan sebagainya selagi berlandaskan undang-undang negara. - Gambar hiasan
CALON yang bertanding memperjuangkan agenda untuk kepentingan warga kampus dan universiti tanpa dipengaruhi agenda pihak luar. - Gambar hiasan
Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


Selepas bertahun-tahun dihimpit pelbagai insiden dan isu panas, akhirnya pilihan raya kampus (PRK) di universiti awam (UA) tahun ini berlangsung dengan aman dan lancar.

Bahkan perjalanan PRK di kebanyakan UA baru-baru ini juga kurang diketahui masyarakat luar, sekali gus memudahkan warga kampus menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan tenang.

Kelancaran proses itu bukan saja menyenangkan hati pihak yang mengendalikan PRK, malah membayangkan golongan siswa kini makin matang untuk membuat keputusan tanpa dipengaruhi orang luar.

Mengulas mengenainya, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kematangan siswa untuk memilih isu yang berkepentingan dengan mereka makin terserlah.

Menurutnya, siswa kini makin memahami kepentingan memperjuangkan isu kebajikan di kampus berbanding isu luar yang kurang relevan dengan kehidupan mereka.

“Apa yang dapat saya simpulkan, siswa kini makin matang untuk berfikir dengan lebih menitikberatkan isu survival mereka di kampus berbanding isu nasional di luar.

“Mereka tahu fokus utama ialah belajar dan berjuang untuk memperoleh ijazah lebih penting berbanding perjuangan bagi isu yang belum tiba masanya.

“Sebab itulah PRK kali ini berlangsung aman kerana siswa tidak lagi mencampuradukkan agenda lain sebagai topik perjuangan, sebaliknya lebih melihat kepada apa yang boleh dilakukan untuk mempertingkatkan kualiti di kampus,” katanya.

Beliau berkata PRK hanya proses awal untuk membantu siswa mengenali proses demokrasi, bukan tempat untuk memperjuangkan agenda kepartian pihak yang berkepentingan peribadi.

“PRK sebenarnya hanya wadah untuk memberi pengetahuan kepada siswa bagaimana proses pemilihan demokrasi negara berlangsung.

“Apabila tiba masanya, mereka boleh melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi sebenar. Justeru, saya tidak nampak apa perlunya PRK diheret sama dengan isu sensitif seperti yang pernah berlaku sebelum ini. Ini kerana PRK hanyalah mahu mendidik dan memberi pengalaman kepada siswi,” katanya yang turut menafikan PRK berlangsung lancar kerana UA diberi kuasa autonomi untuk menetapkan tarikh pilihan raya itu.

“Autonomi bukan penyebabnya kerana kalau insiden panas mahu berlaku, ia akan terjadi juga.

“Saya percaya kelancaran ini disebabkan kesedaran siswa sendiri yang merasakan isu kebajikan mereka di kampus lebih penting untuk ditangani.

“Lebih baik menumpukan hal itu kerana ia berkaitan dengan kebajikan mereka sepanjang tempoh pengajian, katanya.

Sementara itu, Pengarah Hal-Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia Dr Mohd Dino Khairri Shariffuddin berkata, pembudayaan antara sistem demokrasi dan PRK adalah dua perkara yang sukar dipisahkan.

Katanya, hanya melalui PRK, tahap amalan demokrasi akan dapat diukur kerana membabitkan beberapa instrumen penting seperti kebebasan memilih, bersuara, bertanding, berkongsi maklumat dan sebagainya selagi berlandaskan undang-undang negara.

“Bagi menekankan konsep pembudayaan demokrasi, UA menjalankan proses pemilihan perwakilan melalui PRK membabitkan penamaan calon, pengundian sama ada melalui kertas undi atau e-voting, kempen, keputusan dan bantahan pada keputusan seperti diamalkan dalam pilihan raya umum.

“Keadaan ini secara langsung menunjukkan UA mahu pembudayaan sistem demokrasi melalui pilihan raya dapat diamalkan pada tahap maksimum.

“Bagaimanapun, pada masa sama, tidak perlu membandingkan amalan pilihan raya umum dan PRK kerana wujud perbezaan persekitaran dan undang-undang yang mengikat siswa melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan masyarakat awam,” katanya.

Secara umumnya, di kebanyakan UA proses pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Hal-Ehwal Pelajar (JHEP) bagi merancang, mentadbir, menyelaras dan mengawal selia agar proses itu berjalan lancar dan teratur.

Menurutnya, peluang membudayakan sistem demokrasi menerusi PRK perlu digunakan dengan baik demi kebaikan siswa dan universiti

“Siswa perlu memperjuangkan agenda untuk kepentingan mereka dan universiti tanpa dipengaruhi pihak luar.

“Bagaimanapun, bukan semua cadangan atau permintaan siswa wajib dilaksanakan pihak pengurusan universiti kerana ada perkara lain perlu diambil kira.

“Tapi pengurusan universiti pasti akan menerima dan melaksanakan perancangan dikemukakan siswa jika ia mampu memberikan faedah kepada majoriti,” katanya menegaskan sebarang keputusan yang dilakukan universiti bukan dilakukan sewenang-wenangnya tanpa persetujuan Lembaga Pengurusan Universiti dan Jawatankuasa Pengurusan Universiti

“Ini untuk kebaikan bersama bagi memastikan perjalanan universiti dari segi kewangan, pengurusan dan pentadbiran, penyelidikan, akademik, kepentingan staf, siswa, keselamatan dan sebagainya berjalan seperti dirancang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 12:18 PM