Pengunjung yang hadir pada pameran Hartanah MyRumah di Balai Berita NSTP, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: MyRumah, pameran dan forum hartanah anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dengan kerjasama Andaman Property Management Sdn Bhd (Kumpulan Andaman) mencatatkan kejayaan cemerlang apabila berjaya meraih jualan sehingga RM6 juta membabitkan tempahan lebih 20 unit rumah mampu milik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Andaman, Datuk Seri Dr Vincent Tiew berkata, pameran hartanah yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam menarik pengunjung khususnya golongan berpendapatan pertengahan (M40) dan berpendapatan bawah (B40) yang ingin mempunyai rumah kediaman sendiri.

Beliau berkata, lebih membanggakan apabila MyRumah juga dilihat mampu memainkan peranan berpotensi sebagai platform kepada orang ramai mempelajari pelbagai teknik dan selok-belok dalam dunia hartanah khususnya pembeli rumah pertama.

“MyRumah yang diadakan untuk kali ketiga pada tahun ini menunjukkan peningkatan dalam pelbagai aspek khususnya pempamer yang bersungguh-sungguh menampilkan tapak pameran masing-masing selain maklum balas baik dari pengunjung.

“Malah dengan pembabitan penceramah yang berpengalaman dalam industri hartanah tempatan menjadikan ia sebagai tarikan utama di samping tawaran dan promosi menarik disediakan kepada pengunjung,” katanya di sini, semalam.

Vincent berkata, penganjuran kali ini turut mendapat maklum balas memberangsangkan daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KKPKT) yang menyifatkan pameran ini sebagai medium terbaik kepada masyarakat untuk meninjau rumah mampu milik.

“Mungkin pada MyRumah yang seterusnya pada tahun depan, kita dapat menyaksikan pembabitan KKPKT menerusi jabatan-jabatannya yang sekali gus akan mengukuhkan lagi pameran dan forum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 7:13 AM