Shapawi perlu terap pelbagai aspek. FOTO NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Majlis Sukan Negara (MSN) akan adakan program pengurusan kewangan untuk atlet paralimpik menerima Insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) hasil kejayaan mereka dalam Sukan Paralimpik Rio 2016.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Shapawi Ismail, hari ini.

Beliau berkata program itu bertujuan membantu atlet terbabit menguruskan kewangan dengan baik dan untuk tujuan itu MSN akan turut mengadakan perbincangan dengan keluarga mereka. Katanya program yang bermula pada awal November itu akan dikendalikan pakar pengurusan kewangan dan MSN turut akan memberikan panduan dalam soal penjagaan diri dan perhubungan awam.

"Mereka kini juga menjadi tumpuan masyarakat, jadi kita perlu terapkan pelbagai aspek termasuk soal penjagaan diri, perhubungan awam selain komitmen kepada masyarakat umum," katanya pada Kejohanan Junior Cyling Malaysia di sini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan itu yang yang dianjurkan bagi mencari bakat baharu untuk diserapkan dalam program pembangunan sukan berbasikal negara.

Atlet paralimpik Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli masing-masing menerima habuan sebanyak RM1.05 juta hasil kejayaan merangkul pingat emas Sukan Paralimpik Rio.

Kedua-dua atlet itu turut mencipta rekod baharu dunia dalam acara masing-masing iaitu lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) dan lontar peluru F20 (masalah pembelajaran, sekali gus menerima imbuhan tambahan. Seorang lagi atlet Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang memenangi pingat emas dan memperbaharui rekod dalam acara 100 meter T36 (cerebral palsy) Sukan Paralimpik turut menerima insentif tambahan dengan jumlah keseluruhan RM1.02 juta.

Siti Noor Radiah Ismail yang menyumbang gangsa dalam acara lompat jauh T20 pula menerima RM300,000 dengan insentif tambahan Kementerian Belia dan Sukan.

Sementara itu, Ahmad Shapawi turut mengalu-alukan hasrat kerajaan untuk mempertimbangkan peruntukan tambahan bagi sukan dalam Bajet 2017 supaya pembangunan bidang itu dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik. "Pengumuman dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu memberikan mesej yang jelas sukan berjaya memberi impak kuat kepada masyarakat dan MSN amat menghargainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 3:07 PM