Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Seramai 8,784 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang akan berlangsung pada 17, 18, 19, 25 dan 26 Oktober ini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, calon dibahagikan kepada enam kategori iaitu Calon Sekolah Kerajaan, Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan seramai 2,110; Sekolah Menengah Agama Negeri (4,617); Sekolah Menengah Agama Rakyat (680); sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (30); persendirian (1,269) dan luar negara (Kemboja) (78).

Sebanyak 224 pusat peperiksaan akan dibuka di Malaysia dan Kemboja dengan seramai 930 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadual.

Dalam pada itu,Lembaga Peperiksaan turut mengingatkan semua calon agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan, arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun melalui laman web Lembaga Peperiksaan www.lp.moe.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 2:35 PM